Perak Hari Ini

Selepas ‘Pekan Kartun’, Kini PORT Anjur PECAF 2019

IPOH: Atas sambutan yang menggalakkan terhadap penganjuran siri acara Pekan Kartun, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) kali ini tampil dalam menganjurkan Festival Kartun Perak atau Perak Cartoon Fest (PECAF) 2019.

Pengurus Besar Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata acara yang akan diadakan di PORT Ipoh itu bakal berlangsung selama dua hari bermula 17 Ogos ini.

Katanya acara yang dijangka menerima 5,000 pengunjung itu bakal disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing.

“Antara objektif utama penganjuran program ini ialah untuk menjadi platform yang boleh menghubungkan para penggiat seni kartun dan animasi tempatan dengan pemegang taruh industri seni visual Malaysia.

“Ia juga diharap dapat menjadi satu pelantar dalam mengumpul data serta maklumat berkenaan pemain industri kartun dan animasi untuk dilibatkan dalam projek-projek anjuran PORT, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya dalam satu sidang media di PORT Ipoh, di sini, hari ini.

Jelasnya, pelbagai acara dan aktiviti telah disusun bagi memeriahkan lagi PECAF 2019 seperti pertandingan melukis, ‘doodle battle’, demonstrasi melukis grafiti, persembahan muzik, tayangan animasi tempatan serta pertandingan cosplay yang dijangka akan menerima 50 penyertaan.

Selain itu ujar Hanim, beberapa pameran seperti pameran koleksi komik era tahun 40-an sehinga 60-an oleh tokoh penulis, Rudi Mahmood serta pameran ‘Designer Art Collectibles’ oleh iNCH LAB turut akan diadakan.

Katanya lagi pada masa sama, selain Bicara Santai oleh tokoh kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat, program-program berbentuk forum ilmiah juga akan diadakan.

“PECAF 2019 ini mempunyai pengisian yang lebih menarik. Sebab itu kita mengadakan program berbentuk wacana supaya hal-hal industri seni kartun dan animasi ini akan dipanjangkan.

“Ini penting kerana jika tidak mengangkat ia dalam berbentuk ilmiah ia akan berlalu begitu sahaja. Kita berharap hasil daripada penganjuran acara ini, kita akan keluarkan sebuah buku yang dapat menjadi rujukan pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK), Mior Azhar berkata penganjuran PECAF 2019 diharap mampu mengumpulkan semua penggiat seni kartun dan animasi di dalam dan luar negara, yang berasal dari Perak, dapat berkumpul semula ke negeri ini.

Ujarnya ia juga dapat dijadikan sebagai salah satu tarikan aktiviti pelancongan di Perak kerana menurutnya jenama ‘Pekan Kartun’ itu sudah dikenali sehingga ke Indonesia.

“PECAF 2019 ini untuk kita meraikan pelukis dari Perak dan samping itu dapat kita bangunkan industri ini,” katanya.

Selain PeKOMIK, antara pihak yang turut menjadi rakan strategik acara ini ialah Kerajaan Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) dan sebagainya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");