Berita Hari Ini

Takrifan Had Umur Belia Di Johor Kekal

KULAI: Kerajaan Johor menegaskan isu had umur belia di negeri itu sudah selesai iaitu kekal dengan takrifan dari umur 15 hingga 40 tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata pendirian kerajaan negeri masih tidak berubah iaitu dengan mengekalkan takrifan had umur belia hingga 40 tahun.

Katanya, beliau mahu proses pembabitan dan penerangan kepada semua persatuan belia di negeri itu dapat dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan kumpulan itu memahami pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia Dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

“Saya rasa isu belia (takrifan had umur) insya-Allah sudah selesai. Pendirian kerajaan negeri masih kekal (sehingga umur 40 tahun)

“Saya harap EXCO Belia dan kalau boleh bekerjasama dengan menteri buat pembabitan dan beri penerangan kepada semua persatuan belia supaya mereka faham pindaan Akta 668.

“Itu (tempoh proses pembabitan dan penerangan) kita serahkan kepada EXCO Belia, sebarang keputusan (EXCO) akan beri laporan pada kerajaan negeri. Akta itu dikuat kuasa pada 1 Januari 2021, jadi biar dahulu EXCO berkenaan buat proses pembabitan,” katanya.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada 150 Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, awal pagi Isnin, lapor BH Online.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Pada 8 Julai lalu, Dr Sahruddin dalam satu kenyataan, memaklumkan kerajaan Johor menetapkan pendirian mengekalkan had umur belia dan masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun.

Katanya, ia bagi memastikan pelan perancangan dirangka, khusus membabitkan golongan itu tidak terbantut pelaksanaannya.

Namun, sehari kemudian Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri menerima pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun.

Hanya selepas lapan jam menerima pindaan umur itu, kerajaan Johor membuat kejutan apabila mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");