Berita Hari Ini
Like

Kalau Rasa Tak Selamat, Jangan Naik, Kata Mahathir

August 22, 2019
210 Views
0 Comments
2 minutes read
no-cover

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata orang ramai mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan teksi motosikal di negara ataupun tidak.

“Kalau rasa tak selamat, jangan naik. Kita ada pilihan, kita tak paksa sesiapapun untuk naik (motorsikal),” katanya pada sidang medianya di Putrajaya selepas Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri, hari ini.

Mahathir mengulas bidasan mereka yang menentang cadangan pengenalan perkhidmatan teksi motosikal atas alasan keselamatan.

Semalam, kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan perkhidmatan teksi motosikal yang dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, kabinet meminta Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk menjalankan kajian lanjut berhubung pelaksanaannya, termasuk aspek peraturan dan pengambilan pekerja.

Mengulas perkara itu, Mahathir berkata kerajaan ingin melihat sejauh mana perkhidmatan itu akan memberi manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri mendedahkan terdapat tawaran daripada pengusaha tempatan untuk mengendalikan perkhidmatan itu tetapi syarikat-syarikat berkenaan tidak teratur.

“Jika (syarikat berpangkalan di Indonesia) Gojek datang sini, mereka akan memberi khidmat kepada ahli perniagaan kecil,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mahathir tidak menjelaskan bagaimana syarikat Indonesia itu akan bekerjasama dengan firma tempatan.

Mahathir dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah bertemu dengan pengasas Gojek Nadiem Makarim untuk membincangkan perkhidmatan tersebut.

Pentadbiran BN sebelum ini mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal itu atas alasan keselamatan.

Syed Saddiq sebelum ini berkata dia akan mencadangkan perkhidmatan teksi motosikal dalam mesyuarat kabinet bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada belia.

Katanya, membenarkan ‘mat motor’ terlibat dalam industri e-hailing adalah lebih baik daripada membiarkan mereka menjadi ‘mat rempit’.

Loke turut berkata kementeriannya terbuka terhadap cadangan itu.

Mahathir: Zakir Naik tak akan diusir

Mengenai isu pendakwah Islam Dr Zakir Naik, Dr Mahathir yang ditanya sama ada beliau akan berubah fikiran mengenai pengusiran pendakwah Islam itu, berkata: “Buat masa ini, belum ada perubahan.”

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.

Zakir kini sedang disiasat polis berikutan kenyataannya semasa berucap di Kelantan baru-baru ini yang dikatakan berbaur perkauman.

Komen & Pendapat

Comments are closed.