Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Akan Salur Bantuan Kepada Nur Fazira – Howard

IPOH – Kerajaan Perak akan menyalurkan bantuan kepada ketua pasukan bola baling Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 negeri, Nur Fazira Mohd Nor selepas kediamannya di Kuala Bagan Tiang dekat Parit Buntar musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata pihaknya bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan mengadakan kunjungan ke kediaman atlet berusia 21 tahun itu bagi menghulurkan bantuan kira-kira jam 11.30 pagi esok.

“Kita akan pergi ke rumah Nur Fazira untuk sampaikan bantuan sama ada baik pulih atau membina semula rumah itu yang telah musnah dalam bencana kebakaran.

“MSN negeri juga akan menyampaikan bantuan apa yang termampu bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh Nur Fazira sekeluarga,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam Selasa lalu, Nur Fazira yang tinggal bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran.

Dilaporkan kesemua kelengkapan sukan serta pingat kemenangan termasuk pingat emas SUKMA 2018 yang dimenangi penuntut tahun tiga pengajian Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu turut musnah.

Dalam perkembangan lain, Howard menyerut agar mana-mana bekas atlet negeri ini untuk berdaftar dengan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi memudahkan penyaluran bantuan dari segi kewangan dan sara hidup untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya usaha itu dilakukan bagi memastikan kebajikan bekas atlet di negeri ini sentiasa mendapat pembelaan dan selai ia merupakan antara usaha bagi menghargai jasa mereka yang pernah mengharumkan nama di persada sukan untuk Perak.

“Bantuan diberikan kepada bekas atlet yang memerlukan bukan sesuatu secara ‘one off’ sahaja tetapi ia merupakan bantuan secara berterusan kerana kita mahu menjaga kebajikan bekas atlet dan keanggotaan komuniti sukan di negeri ini.

“Setiap permohonan daripada bekas atlet itu akan diteliti terlebih dahulu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan kerana bantuan akan diberikan pertimbangan berdasarkan situasi semasa individu tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");