Berita Hari Ini

Lebuh Raya Tanpa Tol: PM Harap Rakyat Faham

Berdepan dengan kesukaran menunaikan janji dalam manifesto PH, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata orang ramai pelu memahami kesulitan dihadapi kerajaan menunaikan janjinya menghapuskan tol di lebuh raya.

Bercakap kepada media di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata, satu-satunya cara untuk kerajaan menghapuskan tol ialah dengan membeli lebuh raya daripada pemegang konsesinya.

Langkah itu kata perdana menteri menelan belanja yang sangat besar.

“Masalah membeli (lebuh raya) ialah, kita tak membenarkan syarikat terbabit mengutip caj tol. (Dalam keadaan begitu) macam mana mereka boleh mendapatkan semula dana yang digunakan untuk membeli lebuh raya tersebut. Inilah masalahnya.

“Semua lebuh raya perlu diselenggara, diperlebar, ditambah lorong – semua itu memerlukan wang,” katanya.

Sebelum ini kata Mahathir kos operasi itu ditampung melalui kutipan tol.

Keadaan menjadi sukar, katanya, apabila PH berjanji – sebelum PRU ke-14 lalu – bahawa kerajaan tidak akan mengutip tol selepas menjadi kerajaan.

“Kalau kita berjaya membeli (lebuh raya), kita perlu membelanjakan banyak wang untuk menyelenggara jalan-jalan itu.

“Orang ramai perlu memahami masalah yang kerajaan hadapi,” katanya.

Cadangan masih dipertimbang

Terdahulu perdana menteri ditanya mengenai satu laporan berita yang mendakwa ada cadangan daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk menerbitkan bon kekal untuk membolehkan kerajaan persekutuan memiliki kepentingan dalam sejumlah lebuh raya.

Menurut laporan berita Singapura, Straits Times, hari ini, ia adalah satu daripada tiga cadangan yang sedang dikemukakan kepada kerajaan.

Cadangan kedua – daripada Kementerian Kerja Raya – ialah supaya kerajaan memajak lebuh raya tersebut daripada pemiliknya agar kadar tol dapat ditentukan sendiri.

Cadangan ketiga, lapor Straits Times, dibuat Kementerian Kewangan dan melibatkan pemilikan empat lebuh raya yang ada kaitan dengan syarikat Gamuda Bhd dan ia akan dibiayai melalui kutipan tol yang distruktur semula mengikut keadaan trafik, iaitu waktu puncak, bukan waktu puncak serta tengah malam.

Ketiga-tiga cadangan itu hanya menawarkan kadar tol yang lebih rendah dan dianggap langkah kompromi yang diharap memenuhi janji politik PH dalam manifesto mereka.

Sementara itu Mahathir berkata cadangan Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih syarkat Plus Malaysia Bhd masih dikaji dan jika ia diluluskan pun, kutipan tol akan tetap dilakukan.

“Sudah tentu mereka (masih) perlu mengenakan tol. Kalau tak ada caj tol, mereka takkan beli.

“Antara cadangan mereka ialah mengurangkan kadar tol. Mereka juga mahu melakukan pelbagai perkara (seperti) membaik pulih jalan.

“Jadi kerajaan masih mempertimbangkannya,” kata Mahathir.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");