Berita Hari Ini

Lelaki Berpangkat Datuk Dituduh Menyamar Untuk Berkhidmat Dengan Yang Di-Pertuan Agong

PUTRAJAYA- Seorang penasihat projek berpangkat Datuk hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar dan mengaku sebagai pegawai kanan kerajaan supaya dapat dilantik sebagai penasihat perubatan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Datuk Redzuan Zainuddin, 37, dituduh menyamar sebagai ‘Datuk Riduan’ untuk menipu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kesihatan, Mohd Hamidi Abu Bakar, pada 28 Mac tahun ini (2019) kira-kira 11 pagi di pejabat Menteri Kesihatan, Aras 13, Blok E7, Parcel E, Putrajaya.

Redzuan turut dituduh berpura-pura memegang jawatan Gred Khas Utama C Projek Institut Perubatan Forensik Negara pada waktu, tarikh dan tempat yang sama dalam cubaan untuk dilantik sebagai penasihat perubatan dan sains forensik kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Redzuan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengangguk faham apabila dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya dan mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi sementara Redzuan diwakili peguam Siti Suraya Abu Hassan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan ditetapkan pada 5 September depan lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");