Berita Hari Ini
Like

Mat Sabu Saran Tambah Peruntukan Mindef

August 16, 2019
165 Views
0 Comments
3 minutes read
Mat Sabu Saran Tambah Peruntukan Mindef

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menambah peruntukan yang diterima Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan kekuatan dan menjaga kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya Mohamad Sabu berkata, kebanyakan negara yang mencapai indeks kebahagiaan tinggi membelanjakan lebih untuk pertahanan negara mereka.

Mohamad turut memberi contoh Finland yang memperuntukkan 1.4 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau ASD3.8 bilion untuk pertahanan pada tahun 2018 dengan populasi penduduk sekitar 5.5 juta sahaja.

“Kalau kita lihat negara-negara yang aman, negara yang berada dalam kedudukan tinggi indeks negara bahagia, rata-rata negara ini memberi peruntukan tinggi pada aspek pertahanan.

“Norway dan Denmark juga belanja 1.6 peratus dan 1.1 peratus daripada KDNK yang membawa nilai ASD6.1b dan ASD 4.1b untuk pertahanan tahun 2018.

“Singapura walaupun keluasan negara mereka 646 km persegi dan panjang perairan 150km, mereka belanja 3.1 peratus KDNK atau ASD 11.4 b.

“Bagi saya, peruntukan ini masih belum cukup, saya akan terus perjuangkan supaya martabatkan kekuatan dan peranan tentera supaya dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” kata Mohamad di Kementerian Pertahanan hari ini.

Saranan tersebut dibuat ketika ada pihak membangkitkan isu saiz penjawat awam dan perbelanjaan terhadap anggota tentera di negara ini.

Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila mengatakan anggota tentera hanya makan dan tidur, malah tidak pernah menggunakan senjata.

Beliau bagaimanapun kemudian meminta maaf selepas pendapat itu menerima kecaman pelbagai pihak.

Menurut Mohamad, Malaysia hanya berbelanja sebanyak 0.9% daripada KDNK, atau sebanyak RM3.4 bilion pada 2018, yang menurutnya satu jumlah sederhana dan perlu dipertingkatkan untuk pertahanan.

Katanya, seramai 170,000 anggota tentera mengawasi 32.4 juta penduduk dengan keluasan sebanyak 329,000 kilometer persegi serta keluasan perairan sebanyak 4,600 kilometer persegi.

“Ertinya, untuk pertahanan di Malaysia ia satu jumlah yang dianggap sederhana, bukannya besar. Berbeza dengan negara yang tidak berperang, lihatlah Jepun dan negara maju lain,” katanya.

Mohamad berkata demikian menerusi ucapannya ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 yang turut dihadiri Timbalannya Liew Chin Tong.

Sementara itu berkaitan kehilangan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Pulau Perak sejak 19 Jun lalu, Mohamad berkata operasi pencariannya diteruskan semula.

Katanya, buat masa ini TDM akan terus berusaha mencari dua mangsa terbabit dan jika ada petunjuk baru makan operasi dilaut juga akan dibuat.

“Setakat ini tanda-tanda baru ini tidak muncul lagi. Jadi, usaha akan terus kita usahakan, terutamanya di peringkat dararan,” katanya.

Identiti anggota yang hilang dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi, 39, tahun berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau lapor MKini.

Komen & Pendapat

Comments are closed.