Panasnya Hari Ini

Pendakwaan Fail Permohonan Pinda Kes Abdul Azeez

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan memindahkan tiga kes rasuah berjumlah RM5.2 juta bagi projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan tuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi oleh Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad, di sini, hari ini.

Terdahulu, Aslinda memberitahu mahkamah, segala dokumen membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Pada tarikh lalu, pihak kami serahkan dokumen bagi kes pengubahan wang haram. “Hari ini, kami baru saja menyerahkan 632 dokumen berkaitan kes rasuah,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez , 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengesahkan perkara itu.

Pada prosiding sama, pihak pendakwaan turut akan memfailkan permohonan memindahkan kes membabitkan abang Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, yang didakwa atas dua tuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan Abdul Azeez secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta.

Pada 16 Januari lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 hingga 10 April 2018.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 hingga 2018.

Semua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun serta denda.

Sementara itu, Abdul Latif turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");