Panasnya Hari Ini

‘Saya Tidak Pernah Tawar Diri Menyertai Kabinet’ – Anwar

KUALA LUMPUR: “Terima kasih, saya tidak pernah menawarkan diri menyertai Kabinet,” kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengenai ketiadaan tempat untuknya menyertai Jemaah Menteri sedia ada kerana tiada kekosongan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau terikat dengan konsensus dan persefahaman dipersetujui Pakatan Harapan (PH) untuk memberi ruang sepenuhnya kepada Dr Mahathir memimpin sehingga gilirannya tiba pada masa yang sesuai.

“Tiada isu langsung sama ada saya hendak menjadi ahli Kabinet. Saya sudah nyatakan perkara ini dengan jelas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di sini, hari ini, lapor BH Online.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan barisan Jemaah Menteri sedia ada kekal kecuali ada menteri yang meletakkan jawatan.

Beliau dipetik berkata, mesyuarat mingguan Kabinet juga tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio menteri, pelantikan menteri baharu atau tindakan menggantikan mana-mana menteri.

Dr Mahathir ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan kemungkinan usaha membawa masuk Anwar ke dalam Kabinet.

Dalam pada itu, Anwar meminta pimpinan PKR termasuk Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin supaya hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR yang diadakan setiap bulan bagi menyelesaikan pelbagai isu berbangkit.

Menjawab dakwaan Zuraida yang beliau tidak melayan tiga surat diberikan kepadanya bagi mengatur pertemuan menyebabkan beliau tidak menghadiri mesyuarat parti, Anwar berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjawab perkara itu.

“Biar Setiausaha Agung jawab, saya sudah terima satu dan kita menjawabnya. Saya hendak nyatakan kita ada mesyuarat Biro Politik dan MPP setiap bulan, sila hadir,” katanya.

Mengulas kenyataan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa hanya takdir menentukan beliau untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan itu.

“Betul, hidup mati semua serah takdir. Menteri, bukan menteri, jodoh, itu semua takdir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");