Panasnya Hari Ini

UMNO, BN Saman 3 Ahli Parlimen Sertai BERSATU

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengemukakan saman terhadap tiga bekas Ahli Parlimen parti itu yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Memetik laporan BH Online, saman itu difailkan berikutan dakwaan mereka melanggar kontrak, melanggar kepercayaan, mendapat kekayaan yang tidak sepatutnya berikutan sumber kewangan dan sokongan yang diberikan selain memberikan harapan yang tidak adil kepada parti.

UMNO dan BN memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan semalam, dengan menamakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sebagai defendan.

Saman terhadap Hamzah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala terhadap Mustapa dan Ikmal Hisham di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.

Saman itu menamakan Setiausaha Eksekutif UMNO, Mohd Sumali Reduan, yang bertindak bagi pihak parti dan Setiausaha Kerja BN, Datuk Seri Abu Khamis, sebagai plaintif.

Dalam saman itu, UMNO dan BN berkata sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti memberikan bantuan kewangan dan pelbagai bentuk bantuan lain kepada semua defendan.

Parti itu berkata, ia membiayai segala perbelanjaan sebelum hari penamaan calon dan memberikan sokongan kepada defendan bagi memastikan sokongan pengundi kepada mereka.

Selain itu, menurut UMNO, defendan turut dibenarkan menggunakan jentera pilihan raya milik plaintif.

Berikutan itu, UMNO berkata terdapat satu terma tersirat yang termaktub di antara kedua-dua belah pihak di mana defendan akan kekal sebagai ahli parti jika memenangi kerusi Parlimen bagi memajukan agenda parti untuk keperluan pengundi.

“Tindakan defendan untuk bersetuju bertanding bagi pihak parti mewujudkan ikatan kontrak antara defendan dan plaintif.

“Jika defendan memenangi kerusi Parlimen itu, terma dalam ikatan kontrak adalah defendan akan kekal untuk memajukan agenda parti dan keperluan pengundi.

“Namun, selepas beberapa bulan PRU-14, defendan melalui media mengumumkan keluar parti, yang melanggar kontrak dan menyebabkan kerugian kepada parti,” kata plaintif.

Melalui tindakan bertanding dalam PRU-14 dengan mewakili parti, plaintif berkata defendan memberikan satu janji tersirat dan ia (UMNO) secara adil dan munasabah menaruh harapan terhadap defendan.

Plaintif seterusnya berkata ia mempunyai hak untuk mengharapkan supaya defendan terus kekal di dalam parti.

Dengan menerima pelbagai bentuk perbelanjaan dan sokongan sehingga berjaya dipilih menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya mendapat pelbagai ganjaran, plaintif berkata defendan menerima kekayaan yang tidak sepatutnya.

Kata plaintif, defendan juga bertindak pecah amanah dengan mengumumkan keluar parti tanpa menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Disebabkan itu, UMNO yang juga parti terkenal dan berpengaruh mengalami kecederaan dan kerosakan melalui keperibadian, kredibiliti dan reputasi.

“Ia juga menyebabkan pengundi hilang keyakinan berikutan tindakan defendan yang keluar daripada parti.

“Kami berhak mendapat ganti rugi dan pampasan berikutan tindakan defendan bagi dijadikan pengajaran kepada wakil rakyat lain untuk mencegah mereka daripada keluar daripada UMNO/BN dengan sewenang-wenangnya dan memperlekehkan parti,” kata plaintif.

UMNO dan BN sehubungan itu memohon perisytiharan, antaranya, terdapat kontrak di antara plaintif pertama dan kedua dengan defendan dan kontrak itu dimungkiri oleh defendan.

Ia juga menuntut defendan membayar ganti rugi khas RM200,000 kepada UMNO dan ganti rugi am dibayar kepada parti itu dan BN serta ganti rugi teruk, teladan dan relif lain.

Pada 12 Februari lalu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.

Mereka ialah Hamzah, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham.

Sementara itu, Mustapa mengumumkan keluar UMNO pada 18 September tahun lalu dan menyertai BERSATU pada 26 Oktober tahun sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");