Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, berkata, dia menerima tawaran berkenaan kurang daripada seminggu dan giat melakukan persiapan terakhir melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Wany mengakui berdebar untuk menjejakkan kaki di Mekah dan menyambut Aidiladha di sana.

“Saya menerima jemputan daripada Kedutaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji. Pada mulanya berdebar kerana ini adalah pertama kali saya menjejakkan kaki di sana. Malah, saya tidak pernah menunaikan umrah.

“Saya khuatir kerana ilmu masih kurang di dada. Alhamdulillah semalam, saya telah tamatkan kursus haji bersama dengan seorang ustaz. Saya harap dapat laksanakan ibadah dengan sempurna,” katanya kepada Kosmo!.

Walau bagaimanapun pelantun Terlalu Memuja itu berkata, dia masih menunggu beberapa dokumen perjalanan terutama visa yang kini masih diuruskan oleh pihak kedutaan.

“Saya masih menunggu visa. Namun, keperluan untuk menunaikan haji telah disiapkan,” katanya.

Difahamkan Wany akan ditemani rakannya yang juga penyanyi Amira Othman dan mereka dijadualkan berlepas ke Mekah pada petang esok dari KLIA lapor Kosmo Online.