Sukan Hari Ini

Empat Pasukan Masih Gagal

TEMPOH yang diberikan cukup panjang, namun terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan masih lagi gagal menghantar permohonan lengkap untuk memohon lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menghadapi musim 2020.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan tarikh akhir bagi setiap pasukan menghantar permohonan lengkap ialah pada 31 Ogos lalu namun hingga kini, masih ada yang gagal berbuat demikian.

Memetik laporan Harian Metro, lebih memalukan, empat kelab yang masih gagal itu membabitkan tiga skuad Liga Super, manakala satu lagi beraksi di Liga Perdana dengan ada antara mereka kini bermain di suku akhir Piala Malaysia.

Menurut sumber, empat pasukan terbabit dipercayai masih lagi gagal melengkapkan borang pendaftaran membabitkan dokumen berkaitan kemudahan fasiliti dan juga tunggakan gaji walaupun sudah menjangkau hampir sebulan tarikh tutup penghantaran borang itu.

Katanya, situasi terbabit dilihat lebih parah berbanding tahun sebelumnya apabila kali ini menyaksikan terdapat kelab bertaraf gergasi gagal melengkapkan borang permohonan sekali gus kemungkinan bakal dikenakan hukuman yang akan diumumkan hari ini.

“Seperti sedia maklum, tempoh yang diberikan kepada pasukan sudah mencukupi dan mereka perlu menyelesaikan segala masalah membabitkan tunggakan gaji dan dokumentasi berkaitan kemudahan seperti stadium secepat mungkin.

“Sepatutnya, mereka melengkapkan borang sebelum 31 Ogos lalu, namun sekarang ini sudah berada di penghujung September dan masih lagi gagal melengkapkan semua dokumen. Ada antara mereka masih lagi berusaha melengkapkan borang penyertaan atau menunggu dokumen daripada pihak berkaitan untuk diserahkan kepada pengurusan liga,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebagai rekod, 11 daripada 12 pasukan yang bertanding pada Liga Super tahun lalu lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Beberapa kriteria perlu dipenuhi untuk mendapatkan lesen kelab membabitkan enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan.

Jika gagal melengkapkan borang pendaftaran terbabit, pasukan berkenaan boleh dikenakan denda RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi Liga Perdana selain turut boleh dihukum pemotongan mata.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan terdapat beberapa pasukan belum lagi melengkapkan borang pendaftaran walaupun tarikh tutup sudah berlalu lebih 27 hari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");