Berita Hari Ini

Polis Siasat Kenyataan Naib Ketua Puteri UMNO – KPN

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat kenyataan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi yang mendakwa lelaki ditembak mati di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, menyerang majikannya kerana menghina Nabi Muhammad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika ini sedang membuat semakan berhubung kenyataan berkenaan.

“D5 sedang semak dan siasat,” katanya ringkas, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beberapa portal berita melaporkan Nurul Aman dalam satu ceramah di Kubang Kerian, Kelantan, semalam, mendakwa kes amuk menyebabkan seorang lelaki mati ditembak di kilang itu dicetuskan oleh dua individu yang menghina Nabi Muhammad.

Semalam, Abdul Hamid turut dilaporkan memberi amaran polis akan menahan mereka yang menularkan komen berbaur perkauman dan agama berdasarkan sesuatu kes jenayah berikutan kes amuk itu.

Dalam kejadian jam 4.45 petang Isnin lalu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");