Sukan Hari Ini

Jaringan ‘Rabona’ Yashir Berpotensi Calon Anugerah Puskas

KUALA LUMPUR: Selepas gagal dengan dua pencalonan Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2019, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin boleh mencongak untuk menghantar pencalonan bagi anugerah sama bagi tahun hadapan.

Menurut BH Online, ini selepas satu lagi gol bertaraf dunia dapat disaksikan dalam saingan domestik apabila jaringan menarik itu berjaya dihasilkan pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia antara PKNP FC bertemu Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi

Jaringan terbabit dihasilkan oleh penyerang import PKNP FC, Yashir Pinto yang menyambut hantaran Mukhairi Ajmal pada minit ke-37 sebelum menyudahkannya dengan tendangan ‘rabona’ kencang tanpa mampu ditepis oleh penjaga gawang skuad Helang Merah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Jaringan menarik itu membolehkan PKNP FC mendahului 1-0, namun dua gol yang diperolehi Kedah pada babak kedua menjadikan keputusan 2-1 sekali gus menyaksikan anak buah Abu Bakar Fadzim itu kini berdepan laluan sukar untuk mara ke suku akhir.

Klip video jaringan pemain Palestin terbabit yang disiarkan menerusi akaun Twitter Liga Bolasepak Malaysia (MFL Live) turut menarik perhatian dunia apabila diulang ciap beberapa akaun portal bola sepak antarabangsa seperti Goal dan Copa90.

September lalu, penyerang Guangzhou R&F, Eran Zahavi meledak gol ‘rabona’ pada minit akhir untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1 ke atas Tianjin Quanjin dalam saingan Liga Super China.

Selain Zahavi, beberapa bintang dunia pernah meledak gol menerusi cara sama. Antaranya Erik Lamela, Angel di Maria, Dave de Jong dan Peter Madsen.

Sebagai rekod, Malaysia pernah mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 menerusi sepakan percuma ‘melanggar’ hukum fizik pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ketika bertemu Pahang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");