Berita Hari Ini

KM Tak Bantah Zakir Naik Hadir di Masjid Cina, Kata Exco Melaka

PETALING JAYA: Seorang exco Melaka mendakwa Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari tidak membantah kehadiran penceramah kontroversi Dr Zakir Naik pada program di sebuah masjid di negeri itu hujung minggu ini.

“Saya memaklum kepada ketua menteri Melaka tentang hasrat saya menjemput Naik ke Melaka.

“Ketua menteri Melaka memaklumkan kepada saya yang beliau tiada halangan terhadap kedatangan Naik, asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan polis,” kata Mohd Rafiq Naizamohideen dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Melaka, Raja Shahrom Raja Abdullah yang membuat kenyataan tentang pendirian polis yang membenarkan penganjuran program bersama Naik di Masjid Cina Krubong.

Semalam, Raja Shahrom berkata, beliau sudah dimaklumkan Rafiq bahawa kehadiran Naik bukannya untuk memberi ceramah atau mengingkari arahan dikeluarkan polis sebelum ini.

“Kalau Naik mahu berikan ceramah, dia kena dapatkan permohonan daripada pejabat mufti Melaka. Saya percaya pejabat mufti tidak akan luluskan kerana sudah ada arahan dikeluarkan ketua menteri Melaka,” katanya.

Rafiq sebelum ini mempertahankan program solat berjemaah dan ibadah sunat yang akan disertai Naik pada 7 Sept ini.

Mengulas lanjut, Rafiq yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata umat Islam berhak beribadah di masjid dengan mana-mana pemimpin atau pendakwah Islam tanpa perlu campur tangan, merujuk terlebih dahulu atau meminta kebenaran daripada pihak bukan Islam.

Katanya, orang bukan Islam juga berhak mengadakan aktiviti agama masing-masing di gereja, kuil dan tokong dengan pemimpin agama mereka tanpa campur tangan orang Islam seperti yang termaklum dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun mendapat tekanan hebat daripada mana-mana pihak, saya tetap bertekad meneruskan program ini dan keputusan ini adalah muktamad,” katanya.

Terdahulu, Naik disiasat Bukit Aman selepas laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya terhadap masyarakat India dan Cina di negara ini.

Beliau disoal siasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Pada 19 Ogos, Adly mengumumkan larangan berceramah ke atas Naik di Melaka bagi menjaga keharmonian rakyat negeri itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");