Berita Hari Ini

Bicara 1MDB Ditangguh Lagi, Najib Sakit Mata

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak muncul di mahkamah petang ini kerana matanya bengkak semula, menyebabkan perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung pada Isnin.

Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Najib diberikan cuti sakit oleh International Specialist Eye Centre.

Masalah mata Najib, yang menyebabkan perbicaraan ditangguhkan sebelum ini, disyaki oleh pusat rawatan itu mungkin lebih serius daripada konjungtivitis, kata Shafee memaklumkan kepada mahkamah.

“Bengkak di kedua-dua mata menjadi lebih teruk, dan doktor mengesyaki ia bukan sekadar konjungtivitis,” kata Shafee, sambil menambah bengkak itu mungkin kerana alahan terhadap sesuatu.

Shafee berkata Najib diberitahu oleh pusat rawatan untuk menjalani ujian darah selanjutnya esok.

Tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dan Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga pagi Isnin.

Hakim juga bersetuju dengan cadangan daripada kedua belah pihak yang perbicaraan akan berakhir pada jam 6 malam bermula Selasa depan dan seterusnya dan bukannya jam 4.30 petang seperti biasa, bagi menggantikan masa yang hilang.

Shafee juga mengemukakan imbasan pemeriksaan mata Najib kepada mahkamah, yang dilihat di dalam kamar bersama Sequerah dan Sri Ram.

Peguam pembela berkata ia adalah untuk menghalang gambar berkenaan daripada tersebar di Internet.

Sementara itu, Sequerah menetapkan 21 November sebagai pengurusan kes untuk mendengar jawapan pendakwaan kepada permohonan peguambela untuk mendapatkan dokumen daripada bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Justo.

Shafee berkata pasukan pertahanan juga akan memohon semua minit mesyuarat 1MDB dari 2009 hingga 2015 untuk diberikan kepada pasukan undang-undang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");