Membawang Hari Ini

Khai, Nana Benar-Benar Bercinta?

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, 25, menyangkal tanggapan sesetengah peminat konon dia benar-benar menyulam cinta dengan teman duet, Siti Nordiana.

Meskipun selesa berkawan dengan penyanyi Hatiku Milikmu itu, Khai berkata, hubungan mereka tidak sampai ke tahap berkasih lapor BHarian.

“Mana ada kami bercinta? Bagaimanapun, memang diakui saya senang dan selesa dengan Kak Nana (Siti Nordiana).

“Saya juga tak berani hendak bercakap soal jodoh kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Saya tidak berani nak mengatakan ya atau sebaliknya.

“Jodoh perkara yang baik. Namun, saya tahu, apa sahaja yang berlaku, kami akan terus berkawan baik, insya-Allah,” kata pemenang tiga kali kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu.

Bermula sebagai rakan duet menerusi lagu, Satukan Rasa, ‘jodoh’ Khai dan Nana, 34, semakin panjang apabila kedua-duanya disatukan pula dalam drama menggunakan judul sama, terbitan Suhan Movies & Trading.

Berikutan keserasian ditunjukkan kedua-duanya, tidak kurang peminat yang mula berharap mereka benar-benar bercinta di alam realiti. Pada masa sama, ada yang kurang menyenangi keakraban dua penyanyi popular itu.

“Dalam hidup ini, kita memang tidak mampu memuaskan hati semua orang. Kita juga tak boleh mengikut aturan yang cuba ditetapkan pihak lain. Apa yang pasti, kami selesa berkawan dan saya sendiri sudah menganggapnya sebagai kakak,” ujar Khai.

Bercerita lanjut mengenai drama arahan Hadith Omar itu, Khai berkata, dia semakin membiasakan diri dengan rutin di set penggambaran.

“Pada peringkat awal penggambaran, saya akui memang kekok. Bagaimanapun, selepas beberapa hari di lokasi, saya mula mendapat rentak. Rasanya, ia proses biasa untuk mana-mana pelakon baharu.

“Saya juga perlu membiasakan diri memanggil Kak Nana dengan nama watak lakonannya, Indah. Ia agak janggal kerana sebelum kami berlakon bersama, saya sudah terbiasa menggunakan panggilan Kak Nana sahaja.

“Soal debaran di lokasi pula, ia tidak dapat dielakkan. Maklumlah, lakonan bukan bidang saya. Namun, saya berusaha memberikan yang terbaik. Saya juga berpeluang mengikuti kelas lakonan bersama pelakon, Zul Huzaimy. Selain itu, saya banyak menonton drama Korea sebagai rujukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");