Perak Hari Ini

Lebih 16,000 Rumah Di Perak Bakal Nikmati Internet Berkelajuan Tinggi

IPOH – Lebih 16,000 rumah di kawasan pinggir bandar di Perak dijangka bakal menikmati khidmat internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) menjelang akhir tahun ini susulan pelaksanaan fasa pertama Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata pelaksanaan fasa pertama NFCP mulai Nov ini sehingga Mac 2020 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di Menglembu sebelum Papan dan Silibin di sini.

“Insya-Allah, projek ini dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun ini. Pada perancangan awal, untuk fasa pertama hanya melibatkan 16,000 rumah, tetapi setelah berbincang lebih teliti, bilangan buah rumah yang bakal menerima manfaat kemungkinan bertambah.

Untuk fasa pertama ini, kami memilih kawasan pinggir bandar dan ia bakal dilebarkan ke kawasan luar bandar pada fasa dua yang akan diumumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, Hasnul Zulkarnain menerima taklimat daripada Pengarah Projek NFCP Tenaga Nasional Berhad (TNB) Muhammad Faisal Sidek berhubung perkembangan semasa yang bakal dilaksanakan di negeri Perak.

Menurut Hasnul Zulkarnain projek itu tidak hanya memfokuskan kepada kawasan bandar, tetapi ia turut mengutamakan kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar.

“Kerajaan Pakatan Harapan sangat komited dalam mempertingkatkan kualiti internet jalur lebar di negara ini dari semasa ke semasa. Pelbagai perancangan telah dirangka dan sedang dilaksanakan. Ini komitmen kami!” katanya.

Pelancaran NFCP (2019-2023) disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya pada 19 Sept lalu bertujuan memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur digital yang mampan berteraskan rangkaian gentian optik dan turut menggunakan teknologi lain seperti teknologi tanpa wayar serta satelit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");