Perak Hari Ini

Tanah Runtuh: Penduduk 50 Rumah Kampung Teras Dinasihatkan Berpindah

SELAMA: Kesemua penduduk yang mendiami 50 buah rumah di Kampung Teras, Ijok, dekat sini, dinasihatkan untuk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga ekoran kejadian tanah runtuh di kampung tersebut pada semalam yang sehingga meragut nyawa seorang penduduk tempatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kejadian yang berlaku pada semalam itu turut merosakkan dua lagi buah rumah selain daripada rumah mangsa, Hanudin Bahazim, 60.

Katanya pihak berkuasa telah memindahkan para penghuni di lagi lima buah rumah yang menjadikan jumlah keseluruhannya lapan buah rumah.

“Ia mungkin akan mengambil masa bagi memastikan agar keadaan benar-benar selamat dan kesemua yang terlibat dapat pulang ke rumah mereka masing-masing,” katanya.

Ujarnya kerajaan negeri akan mencari alternatif bagi memudahkan segala urusan yang melibatkan kerja-kerja pemindahan sementara itu.

“Jika ada yang bercadang untuk berpindah, tetapi tidak ada ahli keluarga yang boleh menumpangkan mereka, mungkin kerajaan negeri akan mencari jalan untuk bagaimana mereka boleh menggunakan fasiliti kerajaan untuk tujuan tersebut.

“Bagi mangsa-mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah akan memantau dan memberikan bantuan dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita di Kampung Teras, Ijok dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar meluangkan masa lebih satu jam meninjau keadaan rumah yang rosak akibat kejadian tanah runtuh selain turut menziarahi ahli keluarga dan menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Hanudin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Roslan Abd Ghani ketika ditemui berkata pihaknya dan agensi kerajaan yang lain akan mengkaji serta menjalankan pemantauan di kawasan yang terjejas.

Mengulas lanjut beliau berkata JKR Negeri telah mendapat maklumat awal berkenaan aktiviti pergerakan tanah yang berlaku di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang- Lata Tinggi pada Khamis.

Walau bagaimanapun katanya kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam itu berada di luar jangkaan.

“Kita sudah mula mengesan pergerakan awal tanah ini dan kita memang mahu menutup jalan itu yang sepatutnya dilakukan hari ini.

“Kita tidak menyangka tanah itu bergerak sejauh 200 meter. Namun, jika dapat dilihat pada rumah yang rosak itu, kawasan belakangnya adalah kawasan sawah padi yang sudah tidak digunakan dan tidak mempunyai pokok.

“Keadaan permukaan tanah yang kosong tanpa pokok mungkin salah satu punca bagaimana tanah dapat bergerak sejauh itu,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Yunus Jamshari berkata jalan pintasan Ijok-Selama itu akan ditutup bermula hari ini sehingga 4 November dan pengguna jalan raya diminta untuk menggunakan laluan alternatif lain.

Dalam pada itu katanya hasil siasatan awal mendapati cuaca hujan lebat yang berterusan ditambah dengan keadaan tanah yang lembab merupakan punca berlakunya kejadian tanah runtuh seumpama itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");