Panasnya Hari Ini

Tiada Kesempatan Maklumkan Sultan Mizan Tentang Tiada Pengalaman Kewangan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak berpeluang untuk memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin bahawa beliau tiada pengalaman dalam perkara berkaitan kewangan.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata pelantikan beliau sebagai CEO Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan kemudian dinamakan sebagai 1MDB diputuskan oleh pihak lebih berkuasa daripadanya, iaitu ahli lembaga TIA dan pemegang kepentingan iaitu kerajaan persekutuan serta negeri.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada hari ke-18 perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee: Adakah kamu beritahu Sultan bahawa kamu tiada pengalaman dalam mendapatkan dana

Shahrol Azral: Tidak, saya tidak berpeluang untuk menyembah maklum kepada Sultan. Saya tidak diberi peluang untuk bercakap dengan Tuanku tentang kebimbangan saya (kekurangan pengalaman dalam mendapatkan dana).

“Saya diminta datang ke istana, saya duduk, dan kemudian diperkenalkan kepada Sultan dan dimaklumkan tentang tawaran itu. Jika saya tiada kelayakan bagi aspek tertentu, orang yang melantik sayalah yang perlu tahu tentang perkara itu.

“Saya tidak berpeluang langsung untuk sembah maklum kepada Agong bahawa saya tidak ada pengalaman. Tuanku berada di dalam bilik mesyuarat semasa saya dibawa ke Istana oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low (Low Taek Jho). Ini kali pertama saya berada di istana dan saya tidak bersedia,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau memberitahu Jho Low bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam mengumpul dana sebelum beliau dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 2009.

Muhammad Shafee: Kamu tidak ada pengalaman dalam perkara berkaitan kewangan, betul Pada fikiran kamu adakah itu sebabnya Jho Low melantik kamu Sebab kamu tiada pengalaman dalam kewangan

Shahrol Azral: Pada masa itu, saya tidak fikir begitu.

Muhammad Shafee: Sekarang selepas ditinjau kembali

Shahrol Azral: Itu suatu kemungkinan.

Ditanya kenapa wakil Sultan membangkitkan persoalan tentang Jho Low, saksi itu berkata Jho Low memberitahunya ia adalah perbalahan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan pertuduhan 21 pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");