Perak Hari Ini

Isu Pertemuan Dengan Ahli Parlimen BN: NGO Desak Azmin Beri Penjelasan

IPOH – Tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan pertemuan dengan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Isnin disifatkan sebagai satu tindakan yang membelakangi pihak pucuk pimpinan parti.

Pengerusi Pro 98 Reformis Perak, Ahmad Shahrani Abdul Khalid berkata tindakan tegas perlu diambil selain menyifatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah mencemarkan integriti dan kewibawaan kerajaan yang memerintah.

Katanya Mohamed Azmin perlu menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR pada hari ini bagi memberi penjelasan berhubung pertemuan tertutup itu.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, maka dengan kuasa yang ada, Biro Politik boleh merujuk ke Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan seterusnya atau dipecat,” katanya dalam satu sidang media di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan seramai 22 Ahli Parlimen dan Lima Ahli Parlimen PKR telah mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Mohamed Azmin pada Isnin malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin serta Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar.

Ahli Parlimen BN yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Datuk Hasbullah Osman dan Mohd Shahar Abdullah.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Shahrani kesemua lima Ahli Parlimen kerajaan iaitu Mohamed Azmin, Zuraida, Marina Chin Abdullah, Datuk Dr Mansor Othman dan Kamaruddin Jaafar disifatkan sebagai ‘pengkhianat’.

“Mereka perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin Pakatan Harapan (PH) mengikut lunas-lunas demokrasi berparlimen untuk memberi penjelasan. Sekiranya gagal memberi penjelasan, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka.

“Kami merasakan perbuatan kelima-lima ‘pengkhianat’ ini membelakangi pucuk pimpinan PH, merupakan pengkhianatan yang sukar dimaafkan oleh parti dan rakyat yang telah memberi mandat memerintah kepada mereka.

“Kami menggesa supaya PH mempercepatkan siasatan dan tindakan ke atas kelima-lima mereka ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");