Berita Hari Ini

Pasangan Pengusaha Pusat Tahfiz Didakwa Lagi Kes Pecah Amanah

KLANG: Selepas didakwa pecah amanah dalam proses penghantaran pelajar ke Turki pada Oktober dan September lalu, sepasang suami isteri pengusaha sebuah maahad tahfiz hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini.

Kali ini, Ahmad Shukri Ghazali, 47, dan Zunairah Awang, 38, didakwa dengan lapan pertuduhan di tiga mahkamah berasingan, iaitu di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman, Solehah Noratikah Ismai dan Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, menyalahgunakan wang pembayaran pembelajaran untuk penghantaran lapan pelajar ke Turki berjumlah RM140,300.

Ahmad Shukri dan Zunairah, masing-masing pengerusi dan pengetua Maahad Tahfiz Al-Ghazaly di Kampung Sungai Udang di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Casa, Jalan Meru dan Maybank Bandar Baru Klang, antara Oktober 2018 hingga Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pasangan berkenaan dibenarkan diikat jamin antara RM1,500 hingga RM8,000 bagi semua pertuduhan yang dikenakan.

Peguam tertuduh, Mohd Aiziezuddin Suib, ketika memohon pengurangan wang jaminan, berkata pasangan itu mempunyai tujuh anak berusia tiga hingga 16 tahun, selain menanggung ibu berusia 80 tahun, manakala Zunairah pula sedang sarat hamil.

Ketiga-tiga majistret kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 10 Disember ini, manakala 10 Januari 2020 untuk serahan dokumen.

Pada Oktober dan September lalu, pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, terhadap enam pertuduhan pecah amanah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");