Berita Hari Ini

Pemberian Sijil MSPO Tiada Kaitan Dengan PRK Tanjung Piai

PONTIAN – Pemberian Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai, tiada kaitan dengan kempen pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung ketika ini, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata, pemberian sijil MSPO adalah mengikuti proses dan keperluan kepada pekebun kecil yang layak mendapatnya selepas mencapai syarat-syarat yang ditetapkan.

“Mereka (pekebun kecil) yang dapat sijil MSPO juga akan diberikan satu set Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) . Hari ini ada 10 pekebun kecil terima MSPO.

“Ini adalah keperluan. Ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan PRK kerana ia keperluan diri semua yang dapat sijil, akan dapat PPE. Ini satu daripada keperluan dalam syarat kita dan selama ini dilaksanakan.

“Kalau nak pancing undi saya akan order 1,000 set dan saya akan edarkan kepada semua termasuk yang tidak ada sijil MSPO. Itu baru dipanggil rasuah dan pancing undi. Tapi ini hanya 10 orang yang layak dan sudah dapat sijil MSPO,” katanya di sini hari ini, lapor Bernama.

Kok berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program MSPO bersama penanam sawit Tanjung Piai yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ramle Moslim.

Semalam Kok dilapor berkata, 39 daripada sejumlah 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara sudah menerima pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 16,000 pekebun kecil persendirian (PKP) yang memiliki keluasan kawasan penanaman sawit 62,600 hektar.

Beliau, yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, berkata kementerian yang mewakili kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, perlu memberi penjelasan dan penerangan berkaitan apa yang dilakukan termasuk harga sawit.

“Kami perlu beri penerangan kerana apa yang saya cakap ini telah saya cakap di Parlimen. Jadi kita harap media juga boleh bantu uar-uarkan agar masyarakat jangan bimbang. Fakta harga sawit naik maksudnya memang eksport kita tengah naik dengan harga lebih baik. Ini berita baik kepada semua pengusaha sawit,” katanya.

Skim pensijilan MSPO itu pula satu piawaian kebangsaan membabitkan keperluan kelestarian industri minyak sawit di Malaysia.

Sementara itu, Salahuddin berkata adalah menjadi tanggungjawab menteri dan kementerian untuk turun padang tidak mengira waktu walaupun ada kalanya dikaitkan dengan PRK.

“Tugas kita sebagai menteri ini boleh dilihat kepada jadual kerja kami sama ada berlaku pilihan raya, berlaku kematian wakil rakyat atau tiada, kami bertugas hampir setiap hari.

“Kalau nak kaitkan kita bekerja hanya untuk PRK, kebetulan hari ini kami ada di sini. Tugas kami yang diamanahkan oleh rakyat ialah untuk menyampaikan peruntukan sedia daripada kerajaan yang telah diluluskan dalam belanjawan tahun lepas. Jadi menteri berpegang pada prinsip itu,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN), calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. Pengundian akan dijalankan Sabtu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");