Perak Hari Ini

Perak Bentang Belanjawan Negeri RM1.098 Billion Untuk Tahun 2020

IPOH: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Perak 2020 berjumlah RM1.098 bilion yang bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan Dan Inklusif dengan berlandaskan empat fokus utama.

Pada tahun lalu, Kerajaan Perak membentangkan Belanjawan Negeri dengan jumlah RM1.061 billion.

Fokus utama dalam Belanjawan kali ini ialah Menjana pertumbuhan ekonomi seimbang; Keadilan sosial, Kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber dan alam sekitar; Memperkasa pendidikan dan modal insan; dan Memperkukuhkan tadbir urus serta memupuk tanggungjawab bersama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata daripada jumlah keseluruhan belanjawan tersebut, dianggarkan sebanyak RM771.25 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM430 juta pula bagi perbelanjaan pembangunan.

Pembentangan belanjawan tahun kedua pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) itu meliputi beberapa sektor seperti perkhidmatan, pelancongan, pertanian, pendidikan, serta kebajikan kepada rakyat secara menyeluruh.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan, Belanjawan 2020 dicadangkan sebagai belanjawan defisit sekitar RM103 juta.

“Unjuran defisit ini adalah lebih rendah berbanding defisit yang diunjurkan untuk Belanjawan 2019 berjumlah RM109 juta.

“Namun demikian, kita yakin akan mencatatkan lebihan pada penutupan akaun 2019,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata sehingga 31 Oktober tahun ini, rizab dan tunai negeri telah mencecah RM1.419 bilion.

Katanya daripada angka tersebut, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 31.8 peratus yang mana rizab dan tunai negeri pada Disember tahun lalu adalah RM1.08 bilion.

Pada masa sama, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan hasil negeri seperti menyemak status penggunaan tanah dan tukar syarat (premium dan cukai tanah).

“Antaranya, melaksanakan semakan semula semua hak milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) kerana terdapat pembinaan gerai-gerai komersial di Hentian Sebelah yang merupakan pelanggaran kepada syarat nyata tanah tersebut.

“Memberi kemudahan bayaran ansuran cukai tanah kepada pembayar-pembayar cukai yang mempunyai tunggakan tinggi.

“Serta melaksanakan kutipan Lesen Pendudukan Sementara (T.O.L) atau Pajakan Pokok. Sebagai contoh, mengenakan caj tersebut 20 kepada penggunaan Padang Ragut untuk tujuan pertanian,” katanya.

Ujar beliau, melalui pelaksanaan sistem e-tanah, hak milik strata bagi skim pembangunan strata akan didigitalkan untuk memudahkan urusan rakyat.

Oleh demikian, katanya pelaksanaan cukai petak akan berkuat kuasa mulai 1 Januari ini bagi semua skim pembangunan strata di Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");