Perak Hari Ini

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dua Exco Antara Penerima Darjah Kebesaran Perak

IPOH: Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman serta dua Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi dan Abdul Yunus Jamahri merupakan antara penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Zainal Azman merupakan penerima Darjah Dato Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) manakala Asmuni dan Abdul Yunus adalah penerima Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang mana masing-masing membawa gelaran Datuk.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak akan berlangsung pada 10 November di Balairung Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata terdapat 19 penerima Darjah Kebesaran Negeri kesemuanya yang masing-masing terdiri daripada penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) sehingga Darjah Dato Pahlawan Taming Sari (DPTS).

Katanya, tokoh yang mendahului senarai penerima ialah Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim yang menerima SPMP yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ia kemudian diikuti oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menerima Darjah Seri Pahlawan Taming Sari (SPTS).

Selain Asmuni dan Abdul Yunus, terdapat 11 kesemua penerima Darjah DPMP yang antaranya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Mohamad Sadik Kethergany; Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; Pengarah Pembangunan Perak, Zulazlan Abu Hassan; Ahli Akademik Universiti Malaya (UM), Prof Ulung Dr Rajah Rasiah serta Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Mohamed Azni Mohamed Ali.

Sementara itu, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan merupakan tokoh yang menerima Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP) Kehormat.

Seterusnya terdapat empat penerima bagi Darjah Dato Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk yang antaranya Brigadier Jeneral Mustaffa Othman; SAC Azizi Mat Aris; Laksamana Pertama Affendy Suhaimi dan Brigadier Jeneral Dr Rozali Ahmad.

Selain itu, Ketua Editor dan Penerbitan Agensi Berita Bernama, Arul Rajoo menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) manakala, dua Atlet Boling Padang negeri iaitu Syairah Mat Isa dan Nur Fidrah Noh turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

“Seramai tujuh individu menerima Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 menerima Darjah PMP, 9 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 44 menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) termasuk seorang Darjah Kehormat, 50 menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 95 menerima PJK dan enam lagi menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP),” kata Zahidi dalam satu sidang media di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, pada Khamis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");