Berita Hari Ini

Anwar Gesa Dong Zong Henti Kongres Anti Tulisan Jawi, Kembali Ke Ruang Dialog

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan pertubuhan Melayu lain tidak meneruskan dengan kongres berkaitan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Anwar berkata, kontroversi membabitkan tulisan Jawi dikhuatiri akan menambah dan menghangatkan suhu politik dalam negara dan antara kaum.

“Saya menggesa semua pihak termasuk Dong Zong untuk kembali ke ruang dialog. Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dong Zong dilaporkan akan menganjurkan kongres pada 28 Dis bagi membantah pengenalan pembelajaran tulisan Jawi kerana didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Tambah Anwar, tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada khazanah budaya bangsa dan negara. Bahkan, bahasa Melayu dan kini bahasa kebangsaan mula ditulis dalam huruf Arab yang diubah suai kepada tulisan Jawi.

“Ikhtiar tersebut perlu dilihat sebagai antara langkah menyemarakkan kesedaran lintas budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya dan kita harus berbangga dan menghormati kepelbagaiannya. Keutamaan bidang pendidikan adalah ke arah peningkatan mutu pelajaran,” katanya.

Sebelum ini, kebimbangan sama turut disuarakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan tindakan Dong Zong menganjurkan himpunan itu akan berdepan dengan “reaksi” orang Melayu.

Menurut Mahathir, tindakan Dong Zong itu hanya akan menyebabkan orang Melayu mengadakan kongres mereka pula dan bercakap mengenai penutupan sekolah Cina.

Kabinet pada Ogos mengekalkan keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tahun 4 tahun depan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa pelajar memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");