Berita Hari Ini

Dr M Harap WKB2030 Jadi Pemacu Sidang Kemuncak Apec 2020

Selepas 22 tahun, Malaysia akan sekali lagi menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) tahun depan.

Menjelang 2020, Bogor Goals, yang menggariskan komitmen antara 20 ahli Apec berhubung perdagangan bebas dan pelaburan terbuka, juga akan tamat.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak yang akan menentukan matlamat seterusnya.

Bercakap pada pelancaran Apec 2020 di Cyberjaya pagi ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berharap matlamat baru akan menggabungkan unsur-unsur Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Wawasan pasca-2020 untuk Apec yang akan kami lancarkan tahun depan akan menggambarkan arah masa depan Apec untuk memastikan keberlangsungannya di bawah pendekatan yang lebih inklusif.

“Ia akan dibina di atas Matlamat Bogor selain nilai tambah dan ciri-ciri usaha Apec dalam tempoh 30 tahun yang lalu serta mengekalkan statusnya sebagai forum ekonomi utama untuk tahun-tahun akan datang.

“Lebih penting lagi, Malaysia ingin melihat konsep kemakmuran bersama yang memacu wawasan dan falsafah untuk setiap kerja yang Apec usahakan, untuk bergerak melangkaui Bogor Goals,” katanya dalam ucapannya.

Dilancarkan pada Oktober, WKB2030 menggariskan matlamat sepuluh tahun untuk penstrukturan semula ekonomi berasaskan kemahiran rendah Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, yang membolehkan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

“Pada pandangan saya, sudah tiba masanya rakan ekonomi mempertimbangkan falsafah ini dan mengaplikasikannya dalam model ekonomi semasa.

“Meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat kita dan membolehkan setiap warga mempunyai standard hidup yang lebih baik akan menjadikan Apec mampan dan relevan sebagai sebuah kumpulan dalam jangka panjang,” kata Mahathir.

Tema sidang kemuncak yang akan berlangsung pada November 2020 ini adalah “‘Mengoptimum Potensi Manusia menuju Masa Hadapan Kemakmuran Bersama”.

Ditanya pemberita selepas itu sama ada ketegangan perdagangan global yang berterusan merupakan bukti ketidakberkesanan Apec, Mahathir mengakui bahawa cabaran berkenaan menjejaskan perpaduan antara rakan ekonomi.

Bagaimanapun, Mahathir menjangkakan sidang 2020 akan menjadi produktif.

“Sejak 30 tahun lalu, Apec telah memainkan peranan penting dan jelas bahawa kebanyakan negara yang mengamalkan resolusi Apec telah menyaksikan perkembangan yang baik ke arah perdagangan bebas dan bergantung kepada perdagangan untuk mengembangkan ekonomi mereka.

“Hanya selepas itu kita menyaksikan perang perdagangan antara AS dan China. Walaupun itu telah memberi kesan, sedikit, terhadap kesatuan Apec, tetapi semangat itu masih ada.

“Orang ramai mahu menghadiri mesyuarat Apec dan saya fikir perbincangan akan menghasilkan hasil yang penting,” katanya.

Tahun depan akan menjadi kali kedua Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Apec.

Pada 1998, Mahathir juga merupakan perdana menteri yang melancarkan sidang kemuncak itu.

Ahli Apec seramai 21 negara iaitu; Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand AS dan Vietnam.

Secara keseluruhan, rakan ekonomi ini membentuk 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan hampir separuh daripada perdagangan dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");