Perak Hari Ini

Bantah Tindakan Yang Dikenakan Terhadap Zuraida

IPOH: Sebuah gabungan, Penggerak Muafakat Nasional Negeri Perak mempertikaikan tindakan kepimpinan PKR yang mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Naib Presiden Parti, Zuraida Kamaruddin.

Pengerusinya, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata perkara sedemikian disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak rasional dan tidak melambangkan demokrasi serta keterbukaan parti.

Katanya lagi, gabungan itu menolak tindakan sedemikian selain turut menyifatkan ia sebagai tindakan yang bermotifkan penganiayaan politik terhadap Zuraida.

“Ianya menjadi tanda tanya kepada banyak pihak apakah insiden-insiden serta teguran yang bersahaja terhadap pemimpin diambil serius, seolah-olah pimpinan kanan ini melakukan jenayah besar yang memberi kesan kepada parti.

“Kami percaya tindakan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan membenarkan himpunan mendesak dilucutkan jawatan bagi memberi tekanan kepada Zuraida hanya akan mencetuskan gelombang sokongan yang lebih besar rakyat di akar umbi.

“Mereka pastinya akan terus memberikan sokongan yang padu kerana dilihat seolah-olah Naib Presiden Parti ini dianiaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru kata Ketua Cabang PKR Parit Buntar itu sikap membuat keputusan secara kolektif dengan beberapa pemimpin ‘favourite’ atau sebahagian sahaja hanya akan merosakkan imej parti.

Sementara itu, Abdul Yunus menyifatkan Zuraida sebagai ‘mutiara di dasar laut’ yang merupakan aset kepada parti selain bermanfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Beliau bekerja tanpa memikirkan penat lelah dan sentiasa proaktif dalam menangani isu serta kehendak rakyat. Justeru itu tindakan terhadapnya wajar dipertimbangkan sebaik mungkin.

“Apakah kita mahu hilang sebutir ‘mutiara’ seperti Zuraida , selaku tunjang kepada Parti? Beliau juga dilihat berpotensi mendukung pimpinan tertinggi negara di samping terus menjaga hak rakyat jelata,” ujar Abdul Yunus yang juga Exco Kerajaan Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");