Berita Hari Ini

Dakwaan Tak Berasas

KUALA LUMPUR: Dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal mengalami kerugian susulan langkah kerajaan memperkenalkan penstrukturan semula konsesi tol Plus Malaysia Berhad (Plus) adalah tidak berasas.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, Najib menerusi Facebooknya, memetik kenyataan daripada kerajaan jumlah penjimatan pengguna tol sepanjang baki konsesi adalah RM26 bilion manakala jumlah penjimatan kerajaan sepanjang baki konsesi adalah RM42 bilion.

Katanya, Najib mengeluarkan kenyataan ‘jumlah kerugian yang ditanggung pencarum KWSP dan pengguna tol masa depan sepanjang baki konsesi’ ialah RM68 bilion atau dengan mencampurkan kedua-dua jumlah RM26 bilion dan RM42 bilion memetik HMetro.

“Penjimatan kerajaan sepanjang baki konsesi RM42 bilion terdiri daripada pampasan RM26 bilion yang perlu dibayar kerajaan jika kadar tol semasa dibekukan hingga akhir konsesi sedia ada akibat kadar tol yang akan dinaikkan 5 peratus setiap tiga tahun.

“(Juga) pampasan tambahan RM14 bilion yang perlu dibayar kerajaan oleh kerana pemberian diskaun tol 18 peratus daripada kadar semasa mengikut konsesi sedia ada serta hutang semasa yang tertunggak sebanyak RM2 bilion yang perlu dibayar kerajaan kepada Plus.

“Oleh sebab itu, pencampuran RM26 bilion dengan RM42 bilion oleh Najib langsung tidak berbangkit, tidak logik dan tidak masuk akal,” kata Pua dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, seperti yang diumumkan, nilai ekuiti Plus dipegang Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan KWSP akan dikekalkan dan dilindungi melalui penerbitan bon oleh Plus kepada pihak pemegang saham.

Justeru, bayaran dividen daripada KWSP kepada pekerja Malaysia tidak akan terjejas, tegasnya.

Pua berkata, menurut formula kerajaan, pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun yang besar manakala kerajaan akan mendapat penjimatan susulan hutang kepada Plus dihapus-kirakan dan pampasan untuk diskaun tol tidak perlu lagi dibayar sepanjang konsesi,

“Seperti yang disahkan Menteri Kewangan minggu lalu, rakyat Malaysia akan menikmati diskaun tol 18 peratus mulai 1 Februari, 2020,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");