Panasnya Hari Ini

Parti Dalam PH Perlu Saling Menghormati – Johari

KUALA LUMPUR: Saling hormat menghormati dan mempercayai di antara satu sama lain antara formula yang perlu diamalkan parti dalam Pakatan Harapan (PH) jika tidak mahu melihat gabungan itu sekadar menjadi kerajaan sepenggal.

Pada masa sama, Ketua Whip PH, Datuk Johari Abdul menegaskan, PH juga perlu berusaha memecahkan rasa sangsi rakyat terhadap kemampuan mereka memerintah selepas dua tahun menjadi kerajaan.

Jelas beliau, PH juga berdepan keadaan rakyat masih membandingkan pentadbiran pakatan itu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya nampak masa depan PH sebagai kerajaan cerah jika saling hormat menghormati. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan (jadi kerajaan sepenggal), ini lumrah alam.

“Kita baru dua tahun bersama, mungkin tidak begitu dikenali. Tetapi kalau kita berjiwa besar, saling menghormati satu sama lain dan kekalkan rasa hormat, saya rasa kita ada masa depan yang amat cerah kekal menjadi kerajaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dilaporkan sebagai berkata gabungan itu bakal menjadi kerajaan sepenggal jika pemimpinnya masih bergaduh sesama sendiri hingga memecah belahkan rakyat.

PH berdepan beberapa isu berbangkit seperti pelan peralihan kuasa dan masalah dalaman yang berlaku pada parti gabungan itu, sekali gus menjejaskan kredibiliti PH sebagai kerajaan pada mata rakyat.

Kemelut PH ini dikatakan turut mempengaruhi kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, minggu lalu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menafikan dakwaan berlakunya dominasi oleh parti tertentu dalam PH sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang Melayu dan Bumiputera terhadap gabungan itu.

Katanya, dakwaan kononnya berlaku dominasi parti tertentu dalam PH juga sebagai tidak tepat kerana apa juga keputusan dicapai PH ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

“Justeru, Tun tidak seharusnya berasa bimbang kerana Majlis Presiden bermesyuarat setiap bulan. Malah, tidak timbul isu orang Melayu dan Bumiputera terpinggir.

“Dalam soal Melayu dan Bumiputera ini, kita ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) membela Islam,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata peringatan Dr Mahathir itu adalah satu amaran kepada kepemimpinan PH.

“Itu adalah satu amaran diberikan kepada pihak yang masih tidak boleh menyesuaikan diri sebagai kerajaan.

“Mereka ini seharusnya berhati-hati, sekiranya masih sayang (parti), mereka harus berubah. Kalau mahu teruskan (bergaduh), mana-mana kerajaan yang memerintah pun tidak akan kekal lama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");