Panasnya Hari Ini

Setiausaha Agung BERSATU Menang Jawatan Ketua Bahagian

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya, menang tanpa bertanding Ketua BERSATU Bahagian Bagan selepas pencalonan pemilihan parti itu berakhir semalam.

Jurucakap sekretariat pemilihan BERSATU Pulau Pinang memaklumkan, empat lagi bahagian turut menyaksikan calon bagi jawatan utama di peringkat itu menang tanpa bertanding.

Empat bahagian terbabit merangkumi Bukit Mertajam (Fakhruzzaman Ahmad), Nibong Tebal (Yaacob Osman), Kepala Batas (Azlina Mehtab) dan Mohamad Kamal Fairos Mohamad Ibrahim, yang menang tanpa bertanding di Tanjong.

Marzuki adalah Pengerusi Pimpinan BERSATU Pulau Pinang dan Timbalan Menteri Luar.

Lapan bahagian di Pulau Pinang menyaksikan pertandingan bagi jawatan sama iaitu di Permatang Pauh, Batu Kawan, Tasek Gelugor, Bayan Baru, Balik Pulau, Bukit Bendera, Bukit Gelugor dan Jelutong.

Di Kelantan, Ketua BERSATU Bahagian Ketereh, Senator Dr Radzi Jidin, bakal berdepan cabaran selepas timbalannya, Mohd Uzair Yusof, mengesahkan pencalonan untuk merebut jawatan ketua bahagian.

Borang pencalonan Mohd Uzair diserahkan kepada sekretariat pemilihan BERSATU Kelantan, semalam.

Radzi yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tewas kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Ketereh.

BERSATU akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan.

Tarikh penamaan calon bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ditetapkan pada 16 Mac ini, manakala Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan akan diadakan serentak dengan pemilihan parti pada 20 Jun depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");