Berita Hari Ini

SKMM Tambah Program Kefahaman Manfaat Teknologi 5G

LANGKAWI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperbanyakkan program kesedaran teknologi generasi kelima (5G) kepada masyarakat, bagi mengelak kekeliruan serta memberi kefahaman mengenai manfaat 5G kepada industri dan pengguna.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak, berkata buat masa ini, penggunaan 5G yang paling utama adalah untuk industri, dan pihaknya belum lagi mencuba bagi menampilkan teknologi itu untuk kegunaan peranti mudah alih.

“Untuk kegunaan mobile (peranti mudah alih) bagi penggunaan seperti media sosial dan sebagainya, 4G masih relevan dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, beliau berkata, pihaknya mempromosikan manfaat 5G menerusi laman web dan media sosial menerusi lebih 30 video, tetapi akan pelbagaikan lagi medium dan cara bagi memastikan masyarakat faham perbezaan antara 3G, 4G dan 5G.

Beliau menegaskan 5G dan 4G akan dibangunkan secara serentak seperti dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan membolehkan ekosistem rangkaian lebih mapan dan menyeluruh.

Al-Ishsal berkata, semua teknologi itu perlu dibangunkan serentak bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial.

“Kita perlu baik pulih, naik taraf 4G di Malaysia kerana ia masih belum matang dan masih perlukan pelaburan daripada syarikat telekomunikasi. Tetapi pada masa sama, kita kena lihat kepada masa hadapan yang memerlukan teknologi 5G bagi membantu meningkatkan keluaran sektor tertentu yang banyak menyumbang dan beri impak tinggi kepada ekonomi negara,” katanya.

5G sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi selama enam bulan sehingga Mac ini.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai antara perintis 5G di rantau ASEAN. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");