Perak Hari Ini

Cubaan Seludup Wang Setengah Juta Dari Thailand Ke Malaysia Gagal

IPOH: Cubaan tiga wanita untuk menyeludup masuk sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand bernilai kira-kira RM500,000 ke negara ini gagal apabila mereka ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit dekat Pengkalan Hulu.

Dalam kejadian 7 Februari lalu pada sekitar jam 4.15 petang itu, pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak telah menahan tiga wanita yang dua daripadanya warga Thailand dan seorang warganegara tempatan yang berumur lingkungan 41 hingga 50 tahun.

Pengarah JKDM Negeri,Dr. Mohamed Saprin berkata tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati tiga beg yang dibawa bersama mereka dalam sebuah kereta mengandungi sejumlah wang tunai yang disorok dan tidak diisytiharkan kepada JKDM.

Sebaliknya, kata beliau beg yang masing-masing diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan dan di bonet kereta yang bernombor pendaftaran negara Thailand itu hanya diisytiharkan mengandungi pakaian serta makanan sahaja.

“Ketika siasatan awal kita masih lagi belum dapat memastikan ke mana semua wang itu akan dibawa.

“Namun, wanita tempatan itu dipercayai berasal daripada Sungai Petani dan kita mengesyaki wang-wang itu akan dibawa dari Thailand dan dalam perjalanan ke bahagian utara Semenanjung Malaysia dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord.

“Kes ini belum lagi dirujuk kepada pihak Thailand. Tetapi, selepas hasil siasatan ini selesai, kita akan bawakan laporan kes ini kepada Wisma Putra kelak,” katanya dalam satu sidang media di Wisma JKDM Perak, di sini, hari ini.

Selain itu, jelas Mohamed kesemua mereka dipercayai mempunyai rekod keluar masuk Malaysia-Thailand sebelum ini.

Walau bagaimanapun katanya, cubaan sedemikian adalah dipercayai pertama kali dilakukan wanita-wanita itu selain JKDM Negeri sedang giat menyiasat bagi mengesahkan kemungkinan ada rekod lampau atau aktiviti ini didalangi mana-mana sindiket.

“Kesemua suspek telah direman tiga hari dan tempoh reman mereka akan disambung bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya

Kes disiasat di bawah Seksyen 28(B)(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Selain itu, kes yang sama juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");