Berita Hari Ini

Gesa Anthony Loke Campur Tangan Mengenai Salah Laku AirAsia

IPOH- Biro Penyelarasan Pergerakan Masyarakat Awam MCA menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bertanggungjawab ke atas dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan dua eksekutif dari AirAsia, seperti didedahkan portal United Kingdom (UK) pada Jumaat.

Pengerusinya, Ng Kian Nam berkata, sebagai seorang menteri, Anthony tidak sepatutnya membiarkan perkara tersebut kepada pihak AirAsia untuk dikendalikan.

“Anthony hanya bersikap pasif ketika disoal mengenai tuduhan rasuah melibatkan dua orang eksekutif AirAsia Bhd seperti didedahkan oleh media asing dan Serious Fraud Office United Kingdom di mana perkara tersebut jelas menunjukkan kejahilan beliau.

“Beliau juga tidak bertanggungjawab apabila memberitahu media bahawasanya AirAsia berhak menjawab dakwaan rasuah Airbus tersebut yang mana ianya merupakan satu skandal antarabangsa melibatkan syarikat penerbangan domestik yang terbesar di Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya perkara tersebut bukanlah kali pertama berlaku di dalam kementerian yang melibatkan pengendali pengangkutan awam yang mana disyaki terlibat dalam masalah integriti.

Ekoran itu katanya, selain daripada penglibatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara langsung dalam proses siasatan, perkata tersebut juga terletak dalam bidang kuasa kementerian pengangkutan.

“Selain pihak SPRM terlibat dalam proses siasatan, kementerian juga perlu mengesahkan sama ada Lesen Perkhidmatan Udara AirAsia Bhd yang dikeluarkan mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 yang sedia ada.

“Beliau juga seharusnya menjelaskan sama ada kementerian mempunyai sebarang kuasa untuk campur tangan dalam siasatan itu, termasuk mengenal pasti sama ada AirAsia Bhd terlibat dalam sebarang urus niaga komersil yang tidak betul, malahan perlu mengkaji semula Lesen Perkhidmatan Udara syarikat itu untuk melindungi kepentingan semua pihak,” katanya.

Beliau juga menyatakan kekesalan terhadap sikap yang ditunjukkan oleh menteri berkenaan di mana ianya hanya akan menggalakkan lagi gejala rasuah dan tidak akan mewujudkan kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab dan lebih cekap.

“Sebelum pelantikan, Anthony telah berjanji untuk menghapuskan budaya “Kopi-O” yang meluas dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun, selama dua tahun, budaya ini masih wujud, bahkan telah meningkat,” katanya.

Terdahulu, laporan mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia and AirAsiaX.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan telah menolak dan menafikan semua dakwaan salah laku dalam artikel yang mengaitkan perjanjian dilakukannya mengenai penajaan sebuah pasukan sukan dimiliki eksekutifnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");