Perak Hari Ini

Itu Hanya Ramalan, Kata Muhyiddin

IPOH: Dakwaan yang menyebut wujud perbincangan tertutup antara parti pembangkang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga bakal mengubah kepimpinan di tiga negeri hanya sekadar ramalan.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada pihaknya tidak ada disebut perkara sedemikian.

“Saya dalam kerajaan pun tak tahu apa cerita itu. Itu cuma ramalan sahaja.

“Saya tekankan sekali lagi yang dari pihak kerajaan atau parti, saya tidak ada dengar perkara itu dibincangkan ataupun berlaku seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-48 Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Hari ini sebuah akhbar mendakwa terdapat satu perbincangan tertutup antara Bersatu dengan Umno dan Pas.

Laporan itu menyebut tindakan itu bukan sahaja bakal menyaksikan perubahan kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan malah ia akan melibatkan Kedah, Perak dan Melaka.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau masih menjalankan tugasnya itu seperti biasa.

“Saya ada tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak dan saya akan terus memberi fokus kepada itu. Selainya saya serahkan kepada Allah dan kepimpinan parti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut ditanyakan tentang isu peralihan kuasa Perdana Menteri yang dikatakan akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari ini.

Ujar Timbalan Presiden PH itu beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara demikian.

Walau bagaimanapun Muhyiddin menegaskan bahawa isu peralihan kuasa tidak menjejaskan hubungan antara parti-parti komponen PH.

“Ia bidang kuasa Majlis Presiden PH. Saya fikir apabila tiba masa mungkin akan ada keputusan dibuat.

“Pandangan-pandangan umum berkenaan isu peralihan kuasa itu adalah biasa dalam dunia politik. Namun yang penting ialah soal hubungan dan kerjasama antara komponen PH masih kukuh terjalin,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");