Perak Hari Ini

Jadikan WCIT2020 Medan Merungkai Masalah Islam

IPOH- Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2020) kali ke-6 yang bakal dianjurkan pada 9 hingga 11 Mac ini wajar dijadikan medan untuk merungkai masalah dalam kalangan umat Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pentas perkongsian ilmu berkenaan seharusnya dijadikan medan kepada para ilmuan untuk merungkai salah dan silap umat Islam pada masa kini.

“Persidangan WCIT2020 ini wajar dijadikan medan kepada para ilmuan untuk merungkai di manakah salah dan silapnya umat Islam masa kini sehinggakan imej Islam sebagai agama sejahtera dan relevan sepanjang zaman, semakin terhakis.

“Kita perlu meneruskan agenda membuka pentas perkongsian ilmu oleh para pemikir, intelektual, ahli falsafah dan pemain utama dalam industri bagi merumuskan penyelesaian-penyelesaian dan idea-idea yang sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

“WCIT berperanan sebagai wadah yang berkesan agar harapan ini benar-benar terlaksana,” katanya semasa menyampaikan sembah ucapan Majlis Makan Malam Penghargaan Penaja dan Pelancaran The 6th World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT2020) di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Penghargaan Penaja sekaligus melancarkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2020) kali ke-6.

Menerusi persidangan WCIT2020 ini, dengan tema “Perkongsian Tentang Kemanusiaan” hasrat persidangan kali ini adalah dapat mengekalkan momentum tema-tema terdahulu ke arah mencari masa depan dunia yang aman.

Tujuan WCIT dianjurkan adalah untuk mencari penyelesaian yang pragmatik dan praktikal terhadap masalah sosio-ekonomi, sosiopolitik, sosio-agama dan sosio budaya yang sedia ada.

Sementara itu, persidangan ini turut memanfaatkan pengalaman sebenar para pemimpin dunia dan pemain utama industri yang dijadikan sebagai tauladan.

Isu-isu yang dibincangkan bakal meneroka masa depan Islam dan umatnya di dunia moden dan pasca moden di samping dapat menerangkan potensi dan kemungkinan serta cabaran Islam di Nusantara sebagai model alternatif sejagat kepada dunia Islam.

Kata Ahmad Faizal, beliau berharap agar WCIT2020 akan menemukan solusi dan pelan tindakan bagi menegakkan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin, bukan sahaja di tanah bertuah ini, tetapi juga ke seluruh alam.

“Perubahan drastik geopolitik dunia, penyebaran wabak penyakit, ancaman perubahan iklim adalah cabaran yang jelas lagi nyata.

“Slogan-slogan retorik dan penampilan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah tetapi ia menuntut kepada kita untuk kembali kepada asas-asas Islam yang sebenar dalam merangka penyelesaian.

“Semoga WCIT2020 ini akan membuahkan hasil dalam mengembalikan Islam sebagai agama Rahmatan lil ‘Alamin dalam dunia yang semakin mencabar ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");