Panasnya Hari Ini

PAS Tetap Akan Bentang Usul Percaya Dr Mahathir, Kata Hadi

ABDUL Hadi Awang sekali lagi menegaskan hasrat PAS untuk membentangkan undi percaya kepada Dr Mahathir Mohamad pada sidang Parlimen bulan depan, walaupun perdana menteri sudah mengatakan beliau akan berundur selepas Sidang Kemuncak Apec, November ini.

Presiden parti Islam itu berkata langkah itu bukanlah untuk mengampu perdana menteri yang sudah berusia 94 tahun itu tetapi untuk “menyelamatkan rakyat” yang kini terbeban dengan pelbagai isu daripada kemelut peralihan kuasa yang tidak berkesudahan.

“Dan kita (PAS) tak takut, tapi ada orang yang ‘penakut’. Takut apa? Bukan saya nak kipas, saya nak selamatkan rakyat. Lebih kepada melibatkan rakyat, tumpuan. Tak ada tanda tanya siapa nak ambil alih, siapa perdana menteri itu, tak ada tanda tanya,” katanya dilapor suara parti itu, HarakahDaily.

Video kenyataan itu turut dimuat naik ke akaun Facebook Hadi.

Tambah Hadi lagi, Dr Mahathir yang dua kali menjadi perdana menteri negara ini masih merupakan pemimpin terbaik untuk mengetuai pentadbiran Malaysia dan perlu dibenarkan berbuat demikian sehingga tamat penggal.

“Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama. Bukan tak ada masalah (bawah teraju Dr Mahathir), ada masalah, tapi (Dr Mahathir) dapat mengatasi masalah, yang kita yakin,” katanya.

Awal hari ini, Dr Mahathir menegaskan yang beliau akan berundur selepas Sidang Kemuncak Apec pada November, walaupun terdapat usaha pembangkang untuknya terus mentadbir.

“Dia (Anwar Ibrahim) jumpa dengan saya dan apa dia buat kenyataan itu betullah.

“Saya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan lain.

“Saya janji saya akan letak jawatan selepas Apec dan pegang pada janji saya,” katanya di Langkawi.

Semalam, Anwar juga mendedahkan proses peralihan kuasa itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH minggu depan.

Ditanya siapakah yang dilabelkannya sebagai “penakut” dengan usul percaya kepada pentadbiran Dr Mahathir itu, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata:

“Kalau ada yang tak bersetuju, kita tahu siapa yang tak bersetuju. Biar sajalah. Pandangan saya, kalau PH itu dalam satu parti, dalam satu parti pun tak bersatu, termasuk DAP juga berpecah, saya tahu. DAP berpecah, PAN (Amanah) juga tidak sepakat.

“Daripada kita politiking dalam satu parti, sama-sama PH ataupun dalam satu gabungan PH, lebih baik kita selesaikan masalah memberi kepercayaan kepada perdana menteri mengendalikan negara untuk tutup pintu krisis sesama sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");