Panasnya Hari Ini

Pasukan Azmin Jumpa Agong Esok

KUALA LUMPUR: Kumpulan 11 Ahli Parlimen yang dipecat daripada PKR, dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, esok.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Ampang yang juga bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, ketika dihubungi, hari ini lapor BH.

“(Kami) belum (ke Istana Negara). Giliran kami esok,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kumpulannya akan bergerak ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Selain Zuraida, kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut disertai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan 90 Ahli Parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini untuk ditemubual, sebelum baki 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap esok.

Temu bual itu dilakukan untuk baginda mendapatkan kepercayaan dan keyakinan bagi memilih individu yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat daripada PKR semalam, atas dakwaan melakukan pengkhianatan secara terbuka selepas melakukan pertemuan dengan pemimpin UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selain bertentangan dengan pendirian parti dalam isu peralihan kuasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");