Berita Hari Ini

Peguam Zahid: Yayasan Akalbudi Ada Buat AGM

Pasukan pembelaan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mencadangkan bahawa Yayasan Akalbudi sebenarnya ada mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).

Ini setelah ada ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi serta setiausahanya, TS Mahinder Kaur yang memberi keterangan bahawa AGM tidak pernah diadakan sepanjang mereka memegang jawatan.

Hal itu dicadangkan peguam bela Hamidi Mohd Noh ketika pemeriksaan balas terhadap Mahinder yang merupakan saksi ke-28 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hamidi memetik notis resolusi Yayasan Akalbudi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ditandatangani Mahinder sendiri bertarikh 8 Ogos 2007, menyatakan dalam “mesyuarat agung” pada 10 Julai 2007, beberapa pindaan telah diluluskan berdasarkan perkara 28 dalam Artikel Persatuan syarikat, Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) Syarikat.

Pindaan itu melibatkan beberapa perkara dan objektif dalam M&A Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan perkara 28 Perkara Persatuan, pindaan seumpama itu hanya boleh dilakukan menerusi AGM atau mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Justeru Hamidi mencadangkan, memandangkan mesyuarat tersebut melibatkan pindaan terhadap M&A, maka mesyuarat itu boleh dianggap sebagai AGM.

Cadangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Mahinder.

Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Mahinder berkata beliau ditawarkan menjadi setiausaha yayasan pada tahun 2003, dengan Ahmad Zahid memintanya mengemaskini dokumen Yayasan Akalbudi kerana sejak penubuhannya, “yayasan tidak pernah memfailkan laporan AGM dan audit tahunan kepada SSM”.

Sedangkan katanya, berdasarkan Akta Syarikat 1965 / Akta Syarikat 2016, AGM yang pertama perlu dilakukan dalam masa 18 bulan setelah syarikat didaftarkan, dan AGM seterusnya diadakan dalam masa tidak melebihi 15 bulan kemudian.

Meskipun setuju dengan tawaran berkenaan, katanya, dia tidak diserahkan dengan dokumen yayasan berkenaan untuk dikemas kini oleh Ahmad Zahid.

“Dari tahun 2003 hingga 2011, saya tidak boleh mengemas kini dokumen Yayasan Akalbudi kerana saya tidak diserahkan dokumen-dokumen yang lengkap berkenaan Yayasan Akalbudi,” katanya.

Dia juga berkata berdasarkan pengetahuannya, yayasan tidak pernah mengadakan mesyuarat ahli lembaga pemegang amanah atau AGM, atau menghantar laporan audit kepada SSM seperti sepatutnya,

“Saya pernah beberapa kali memaklumkan perkara berkenaan AGM dan laporan audit tahunan Yayasan Akalbudi perlu difailkan ke SSM kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Bin Hamidi dan beliau memaklumkan semula akan memberikan dokumen-dokumen yang berkenaan bagi tujuan tersebut.

“Namun sehingga kini saya masih belum mendapat apa-apa dokumen yang berkenaan bagi membolehkan saya mengemaskini dokumen Yayasan Akalbudi dengan SSM,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan masuk hari ke-14, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, Mahinder mengakui berdasarkan Akta Syarikat, setiap mesyuarat perlu direkodkan minitnya, namun menyatakan tidak ingat seksyen khusus mengenainya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");