Panasnya Hari Ini

“Saya Pegang Pada Janji, Lepas Jawatan Selepas APEC” – Tun Mahathir

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, perkara itu turut dijelaskannya kepada Anwar dalam pertemuan mereka di Putrajaya semalam, dan mengakui kenyataan dikeluarkan Presiden PKR itu mengenai peralihan kuasa adalah benar.

Tegasnya, beliau masih memegang janji akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.

“Dia (Anwar) jumpa dengan saya (semalam) dan apa dia buat kenyataan itu betul. Saya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan lain. Saya janji akan letak jawatan selepas APEC dan saya pegang kepada janji saya.

“Saya tidak terbabit dengan perkara lain, saya cuma janji letak jawatan dan akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2 Villa Sirehan di sini, hari ini.

Anwar semalam, mengeluarkan kenyataan mengadakan perbincangan bersama Dr Mahathir berhubung isu peralihan kuasa berikutan terdapat tindakan wakil rakyat PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Anwar dipetik berkata, beliau cenderung Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara ini akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), 21 Februari ini.

Menyentuh mengenai dakwaan mengatakan 138 Ahli Parlimen sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir kekal sehingga tamat penggal, beliau memaklumkan tidak tahu mengenainya.

“Saya dengar macam-macam cerita, ada mahu saya jadi Perdana Menteri 20 tahun lagi. Saya umur 94, beberapa bulan lagi 95.

“Hari ini PH mempunyai majoriti (di Parlimen). Macam mana boleh dapat angka 138 (Ahli Parlimen) itu orang lain punya kerja.

“Saya tidak tahu mereka boleh buat itu, maknanya (Ahli Parlimen) PH mesti sokong untuk dapat angka macam itu,” katanya

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tindakan media yang kerap memainkan isu berkaitan peralihan kuasa menyebabkan pelbagai kenyataan dikeluarkan termasuk dalam kalangan pemimpin PH.

“Ini media yang seronok sangat, kalau ada kontroversi baru ada cerita. Bagi media (jika) saya dan Anwar bertumbuk lagi seronok cerita.

“Pemimpin PH pula buat kenyataan sebab ditanya (media). Kalau tak tanya tiada kenyataan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");