Berita Hari Ini

Separuh Pesakit Covid-19 Dah Sembuh, Kata Dzulkefly

Sebelas daripada 22 daripada pesakit Covid-19 di Malaysia pulih sepenuhnya setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzukefly Ahmad hari ini, manakala baki 11 kes lagi sedang dirawat di hospital.

Menurut beliau, pemulihan terbaru yang dicatatkan ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, serta bapanya yang berusia 45 tahun.

Katanya, kedua-dua mereka dibenarkan pulang hari ini selepas dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Menurut Dzulkefly lagi, dua individu terbabit ialah sebahagian daripada 107 orang rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Wuhan, Hubei di China melalui penerbangan khas pada 4 Feb lalu yang diatur kerajaan Malaysia.

“Bagi kedua-dua kes ini, mereka telah menerima rawatan di wad dan telah menjalani ujian pengesanan ulangan sebanyak dua kali berturut-turut, dan keputusannya adalah negatif,” katanya.

Sementara itu mengenai perkembangan semasa Covid-19, Dzulkefly berkata, kes yang dicatatkan di negara ini kekal sebanyak 22.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly menyatakan, semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan baru-baru ini sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani tempoh pemantauan.

Masih tunggu keputusan makmal

“Kementerian Kesihatan memaklumkan semua 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui misi bantuan kemanusiaan pada 4 Feb lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

“Sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif. Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di wad bagi isu kesihatan (yang tiada kaitan dengan Covid-19) yang dialami beliau,” katanya.

Menurut ahli parlimen Kuala Selangor itu, daripada keseluruhan 22 kes yang dilaporkan, 12 kes adalah dalam kalangan patient-under investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat manakala dua lagi adalah kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan.

Daripada 22 kes itu juga, kata Dzulkefly, 15 orang adalah warganegara China, enam warganegara Malaysia dan seorang warganegara AS.

“Setakat 18 Feb ini, sebanyak 583 PUI dilaporkan ke Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Bagi kontak rapat kepada kes positif, sebanyak 230 kes yang dikesan adalah negatif, manakala 13 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");