Berita Hari Ini

Kami dilayan dengan baik, kata penduduk di kawasan pertama PKPD

Dua penduduk di Kampung Dato Ibrahim Majid, satu daripada 2 kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) di Johor, berkata mereka dalam keadaan baik dan mempunyai makanan serta bantuan mencukupi.

Khamis malam lalu, PKPD dilaksanakan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, susulan lonjakan kes Covid-19 di sana.

Kira-kira 3,500 penduduk diarahkan berada di rumah setiap masa dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

Intan Nurdiyana Masekh, 26, yang tinggal di rumah ibunya di Kampung Dato Ibrahim Majid, berkata pihak berkuasa kesihatan sudah menjalankan ujian saringan secara besar-besaran.

“Penduduk kampung diuji mengikut zon berbeza, dari 9 pagi hingga 3 petang, jadi tiada siapa yang dapat melarikan diri daripada ujian,” katanya kepada FMT sambil menambah pengerakan orang ramai diperhatikan setiap saat.

Beliau berkata, penduduk yang mempunyai gejala akan dihantar ke hospital dengan segera, tidak kira apa hasil ujian mereka.

Bagi bekalan makanan pula, Intan berkata, mereka diberikan makanan kering dan segar 2 hari sekali.

Katanya, mereka akan diberikan beras, biskut, sardin, sayur-sayuran dan buah-buahan yang disampaikan pekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sukarelawan.

“Mereka akan letakkan makanan di pintu, jadi tidak ada interaksi sosial.”

Bagi mereka yang mempunyai keperluan khusus, seperti yang baru melahirkan bayi, pihak berkuasa turut menyenaraikan keperluan mereka seperti susu dan lampin untuk diagihkan.

Seorang lagi penduduk kampung, Aiman Azri Hasan yang juga sukarelawan membantu pihak berkuasa, berkata kerjasama daripada penduduk kampung sangat baik.

“Hanya mereka yang betul-betul perlu keluar bekerja (perkhidmatan asas) dibenar meninggalkan rumah mereka.

“Bantuan diberikan kepada semua penduduk sehingga tengah malam bagi memastikan setiap orang menerima bantuan itu,” katanya sambil menambah mereka yang memerlukan makanan tambahan boleh menghubungi JKM atau sukarelawan.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 34 kematian dengan 2,470 orang dijangkiti Covid-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");