Perak Hari Ini

Kami Tidak Akan Kecewa – Asmuni

IPOH: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Perak, khususnya tujuh mantan Exco Kerajaan Negeri bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik.

Adun Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata walaupun tidak lagi menjadi Exco Kerajaan Negeri namun katanya PH akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat berdasarkan kapasiti masing-masing.

“Sultan Perak menitahkan agar walaupun kami tidak berada dalam barisan kerajaan namun Baginda berharap agar kami dapat terus berkhidmat kepada rakyat dalam pelbagai cara.

“InsyaAllah kami tidak akan kecewa sebaliknya kami akan menjadi pembangkang yang baik.

“Kami akan pastikan supaya kami dapat menunaikan titah Baginda agar dapat terus membantu kerajaan dalam keadaan terkini ini,” katanya kepada pemberita di hadapan Istana Kinta, di sini, hari ini.

Terdahulu kesemua mereka dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini.

Selain Asmuni, antara yang dipanggil menghadap ialah Adun Sungai Rapat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari; Howard Lee Chuan How (Pasir Pinji); Tan Kar Hing (Simpang Pulai), Wong May Ing (Pantai Remis), serta A Sivanesan (Sungkai).

Mereka yang tiba sekitar jam 4.30 petang tadi selesai menghadap Baginda sekitar jam 5.15 petang tadi.

Dalam pada itu, Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak berkata PH Negeri masih belum menetapkan mana-mana Adun untuk menjadi ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

“Berkenaan dengan ketua pembangkang ianya belum diputuskan lagi. Kita akan mengadakan perbincangan bersama Adun PH yang lain dan kemudiannya kita akan putuskan nanti,” ujar beliau.

Difahamkan, tiga lagi bekas Exco Kerajaan Negeri tidak dipanggil menghadap iaitu Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim; Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Paul Yong Choo Kiong, ekoran keputusan yang telah dibuat mereka untuk menyokong Perikatan Nasional di negeri ini.

Pada Selasa, Sultan Nazrin telah memberi perkenan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-12, sekali gus menyaksikan jawatan kesemua Exco Kerajaan Negeri tergugur.

Terdahulu pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat sokongan 32 Adun bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");