Perak Hari Ini

PKR Perak Pegang Prinsip Pertahan Mandat Rakyat Pada PRU-14 – Naib Pengerusi

IPOH: Di sebalik kemelut politik di tanah air akhir-akhir ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berpegang kepada prinsip untuk mengutamakan mandat rakyat yang diberikan semasa Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Naib Pengerusi PKR Perak, Anuar Zakaria berkata amanah yang diberikan rakyat itu seharusnya diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui pentadbiran di Perak.

“Kita masih berpegang dan patuh kepada amanah rakyat. Apa juga polemik politik yang berlaku, kita berlandaskan kepada kepentingan rakyat.

“Ini kerana kita berprinsip kepada amanah rakyat yang telah diberikan pada PRU-14 dan itu sebenarnya harus diutamakan sehingga penggal yang akan datang,” katanya ketika ditemui di Pejabat PKR Perak, di sini hari ini.

Pandangan sama turut dilontarkan Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi selain menyifatkan mandat dan agenda rakyat harus diberi keutamaan serta dipertahankan.

Katanya lagi PKR negeri menerusi pengerusi parti, masih berpendirian untuk terus bersama dalam gabungan PH negeri demi kepentingan rakyat di Perak.

“PH Perak baru-baru ini memang ada bermesyuarat yang mana ia disertai pimpinan daripada PKR, Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP.

“Ada konsensus yang telah diambil dalam mesyuarat itu namun saya tidak boleh mengulas lanjut buat masa ini. Biar PH Perak yang keluarkan kenyataan,” ujar beliau.

Pada masa sama, Ketua Penerangan PKR Perak, Raja Azam Shah Raja Omar Ikram berkata setakat ini parti masih menunggu respons daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan situasi politik terkini di negeri ini.

Pada Rabu, Exco Kerajaan Perak yang juga Naib Pengerusi PKR Perak Tan Kar Hing berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PH masih memberi sokongan kepada Ahmad Faizal untuk terus menerajui kepimpinan di Perak.

Selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti itu keluar daripada gabungan PH, ia menimbulkan tanda-tanya tentang kedudukan negeri-negeri ditadbir PH termasuk di Perak.

Ahmad Faizal sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perkembangan terkini tentang kedudukan Bersatu mahupun PH di negeri ini.

Daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, PH memiliki 30 kerusi yang terdiri daripada DAP (18), Amanah (enam), PKR (empat) sementara Bersatu (dua). Manakala Umno memiliki 25 kerusi, Pas (tiga) dan Bebas (satu).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");