Perak Hari Ini

PKP: Perak Pandang Serius Trend Pemberhentian Operasi Hotel

IPOH: Perak memandang serius trend pemberhentian operasi beberapa syarikat perhotelan akhir-akhir ini seperti Tower Regency dan Kinta Riverfront susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan serta memangku Portfolio Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata ada juga beberapa syarikat perhotelan yang mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi sementara seperti Marina Island dan Hotel Impiana.

Walau bagaimanapun katanya kerajaan negeri sedang merangka usaha yang boleh diambil bagi membela nasib kakitangan-kakitangan hotel yang diberhentikan kerja termasuk dari segi peluang pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran.

Jelasnya lagi ekoran trend tersebut ia dianggarkan memberi kesan kepada sekitar 600 pekerja secara keseluruhan.

“Semestinya dengan pemberhentian operasi hotel-hotel ini kerajaan negeri akan kehilangan dari segi hasil dan pelesenan.

“Namun masalah besar di sini ialah mereka yang kehilangan pekerjaan. Perkara ini secara tidak langsung akan memberi peningkatan mendadak terhadap kadar pengangguran negeri.

“Selama ini dari segi industri, hospitaliti, dan pelancongan ia merupakan salah satu penyumbang terbesar terhadap ekonomi negeri.

“Justeru kerajaan negeri sedang meneliti inisiatif yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan negatif kepada keadaan tersebut,” katanya.

Selain itu tambah beliau, PKP akan ditamatkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan sektor pelancongan berjalan kembali kelak, kerajaan negeri akan berusaha untuk memulihkan semula industri tersebut.

Katanya antara langkah yang akan diambil adalah dengan mengadakan kempen melawat Perak yang menyasarkan warga tempatan di negeri ini.

“Kita akan mulakan kempen ‘Perak Melawat Perak’ sebelum kita pergi kepada pasaran di negeri-negeri utara dan seterusnya kebangsaan.

“Mungkin dalam tempoh setahun, baru industri pelancongan kita akan pulih dan selepas itu barulah kita mula pergi ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman antara kerajaan negeri melalui Digital Perak dengan pengendali platform ‘Yezza’ oleh Advanture 360 Sdn Bhd, Foodpanda Malaysia dan GrabFood bagi kerjasama S.M.A.R.T Iftar@Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya setakat ini lebih daripada 3,000 peniaga dan 4,000 pengantar makanan telah berdaftar dengan S.M.A.R.T Iftar@Perak.

Tambah beliau dalam tempoh 24 April sehingga semalam, laman sesawang tersebut telah menerima 41,918 kunjungan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");