Berita Hari Ini

Ujian swab tak batalkan puasa – Zulkifli

Pengambilan ujian swab bagi menyaring individu disyaki dijangkiti COVID-19 tidak membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) sehingga membatalkan puasa.

Beliau berkata dari sudut syarak, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.

“Ujian swab COVID-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada minggu lepas dan mereka semua bersetuju bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa.

“Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, bagi pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19 yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau di rumah, Zulkifli berkata kewajipan berpuasa bergantung kepada kesihatan pesakit dan arahan KKM.

“Dalam hal ini, kita kena lihat apakah sebenarnya arahan KKM kepada PUI itu. Adakah sukatan minum, makan ubat ataupun suntikan itu berjadual dan tidak boleh dielakkan? Adakah dia perlu dimasukkan air dalam badan atau seumpamanya.

“Semua ini kita kena tengok apa yang diputuskan KKM. Oleh sebab itu, kalau prosedur disebabkan perlu makan, minum ubat dan sebagainya, maka dia diharuskan berbuka puasa,” katanya yang turut menjelaskan hendaklah pesakit itu qada puasa apabila sudah sembuh kelak.

Ditanya berhubung cadangan memperluaskan kewujudan program Dapur It’am ke negeri lain, Zulkifli bersetuju namun negeri-negeri haruslah mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM serta perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Kalau hal ini dapat dilihat dan dicontohi, bagi saya itu adalah hasrat yang cukup murni namun ia mestilah didahului dengan mengikut garis yang ditetapkan,” katanya yang berpendapat ia merupakan ‘new normal’ kepada majlis iftar beramai-ramai.

Dapur It’am adalah berkonsepkan memasak di masjid dan kemudian diedarkan kepada golongan tertentu, kini diguna pakai di Wilayah Persekutuan bagi menggantikan konsep berbuka puasa beramai-ramai dalam mengekang penularan COVID-19 dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Konsep dilakukan adalah makanan akan dimasak di 72 masjid dan surau yang dikenal pasti di seluruh Wilayah Persekutuan sebelum diagihkan kepada golongan penerima selayaknya, dan dianggarkan akan memanfaatkan hampir tiga juta penduduk di kawasan berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Ia melibatkan enam petugas di setiap masjid, dan mereka akan melakukan tugas memasak menggunakan penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan sanitasi tangan selain menjaga jarak sosial.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");