Perak Hari Ini

Anak Jati Ipoh Ambil Inisiatif Sendiri Bangunkan ‘Mohberbuka’

IPOH: Bermula dengan perbualan menerusi aplikasi sembang atas talian, tujuh rakan kemudiannya nekad membangunkan aplikasi pemesanan juadah berbuka puasa yang dikhususkan kepada warga Bandaraya Ipoh, selepas mendapati adanya permintaan terhadap perkara tersebut.

Aplikasi yang mula aktif pada 1 Ramadan lalu itu dibangunkan sebagai alternatif kepada yang mahu namun sukar mendapatkan juadah berbuka puasa, susulan larangan kerajaan berkenaan pengoperasian bazar Ramadan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasa.

Kesemua tujuh anak jati Ipoh yang menggelarkan mereka sebagai ‘TGV’ atau ‘Taman Gunung View’ itu mula membangunkan aplikasi ‘Mohberbuka’ seawal tiga minggu sebelum awal Ramadan minggu lalu.

Koordinator Pemasaran Mohberbuka, Amar Qhuszaireen Muhd Azahar berkata sehingga kini aplikasi tersebut dianggarkan telah mencecah sekitar 1,300 pengguna berdaftar dengan purata pemesanan juadah berbuka dalam 30 ke 50 juadah sehari.

“Setakat ini kita mempunyai lebih kurang 106 penjual juadah berbuka puasa serta 50 penghantar makanan yang aktif,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya aplikasi yang meliputi sehingga ke kawasan di Chemor dan Lahat itu turut menyajikan pelbagai makanan berbuka puasa antaranya, popia, nasi ayam penyet, ayam percik, air kopi dan sebagainya.

“Pesanan boleh dibuat pada bila-bila masa. Namun proses penghantaran bermula pada jam 3 petang. Mana-mana pesanan yang dibuat selepas jam 7 petang pula, kita akan bawakan ia pada esok.

“Berkenaan dengan caj penghantaran, kita mengenakan kadar rata iaitu sebanyak RM5 kepada semua destinasi di Ipoh,” katanya.

Jelasnya lagi tidak ada sebarang kos yang dikenakan kepada penjual, penghantar makanan mahupun pembeli yang menggunakan aplikasi Mohberbuka.

Dalam pada itu, Amar Qhuszaireen menjelaskan kos bagi membangunkan aplikasi tersebut mencecah hampir RM3,000 dan ianya dibiayai sendiri oleh kesemua yang terlibat.

Katanya walaupun ia merupakan pengalaman kali pertama mereka membangunkan aplikasi seumpama itu, namun kepakaran setiap daripada mereka dalam bidang masing-masing seperti teknologi maklumat, pemasaran, katering, dan sebagainya telah memudahkan urusan pengoperasian Mohberbuka.

“Setiap daripada kami harus berada di hadapan komputer di rumah masing-masing dalam memastikan kelancaran proses aplikasi tersebut.

“Setiap hari kami turut berkomunikasi menerusi aplikasi ‘Google Hangout’,” katanya yang menambah promosi bagi Mohberbuka turut dijalankan menerusi media sosial.

Selain itu ujarnya walaupun sambutan semakin menggalakkan, Mohberbuka tetap mahu memfokuskan kepada pengusaha makanan khususnya dalam bidang perindustrian kecil dan sederhana.

Amar Qhuszaireen turut tidak menolak kemungkinan akan melebarkan perkhidmatan aplikasi tersebut sehingga luar dari daerah di Ipoh satu hari nanti.

“Selepas Ramadan berakhir dan sekiranya sambutan terus menggalakkan, kami bercadang untuk menukarkan namanya kepada ‘Mohmakan’ yang mana ia akan memfokuskan kepada juadah-juadah tempatan.

“Kalau boleh kami mahu mengetengahkan juadah terkenal di Perak dalam aplikasi itu nanti. Sebagai contoh pelancong yang datang ke Perak, boleh membuat pemesanan juadah tradisi tempatan menerusi aplikasi ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");