Berita Hari Ini

Ramai Bimbang PKPB Cetus Wabak Gelombang Ketiga

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi PKP fasa keempat bermula 29 April lalu mencetuskan pandangan pro dan kontra dalam kalangan masyarakat termasuk doktor perubatan yang bertugas di barisan hadapan.

Ada yang bersetuju, tetapi ramai juga kurang senang dengan langkah itu kerana dikhuatiri akan timbul kluster baharu wabak Covid-19 sebaik orang ramai mula bergerak di jalan raya, kilang, pejabat dan kompleks beli belah.

Walaupun dalam tempoh dua hari ini kes kematian akibat positif Covid-19 bawah angka lima tetapi tidak bermakna negara sedang melalui proses pemulihan.

Menurut Dr. Ahmad Zakimi Abdullah, ramai yang bersorak gembira dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai kelonggaran PKPB.

Kata beliau, kelonggaran itu secara serentak diberi demi memulihkan dan memperkukuhkan sektor ekonomi dan aktiviti beriadah tidak secara berperingkat dalam fasa PKP keempat mulai Isnin ini.

Maka, katanya, ramailah keluar rumah, sedangkan, negara belum menang lagi dalam perang melawan, menangani dan membanteras penularan pandemik Covid-19.

“Hari ini (semalam), kita mencatatkan 69 kes baru positif Covid-19, iaitu 12 kes imported dan 57 kes tempatan. Kes aktif 1,758, manakala 39 kes baru yang sembuh dan jumlah sembuh kini seramai 4,210.

“Kes masih aktif yang sedang dirawat pula seramai 1,758, dan 14 dari 37 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih menerima bantuan pernafasan.

“Angka kematian untuk semalam satu orang, menjadikan jumlah keseluruhannya 103 kematian. Jumlah kes keseluruhan Covid-19 pula adalah sebanyak 6,071. Saya belum nampak data ini menggembirakan kerana masih banyak tempat dilabelkan zon merah,” katanya menerusi status Facebooknya, hari ini.

Semalam, ketika mengumumkan PKPB, Muhyiddin menegaskan, sebahagian besar dari aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Pada masa sama, kata Perdana Menteri, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Menurut Dr. Ahmad Zakimi, mungkin kerajaan melihat negara lain yang lakukan kelonggaran lockdown setelah dirasakan kes menurun, tetapi apa terjadi dengan Jepun dan beberapa negara lain lagi, yang menyaksikan kes naik mencanak dan meningkat secara mendadak.

Katanya, dalam keadaan kelonggaran yang dilakukan secara drastik ini, bersediakah negara untuk menghadapinya?

“PKP sebelum ini pun ingkar, adakah akan ada kluster baharu, gelombang ketiga?” soal beliau.

Namun, lain pandangan seorang netizen, Husni Zuhairi Mat Husin, yang menyifatkan langkah kerajaan itu wajar, demi untuk menyelamatkan ekonomi negara yang merosot akibat pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Kata beliau, kerajaan tidak boleh dudukan diam apabila kantung wang negara semakin mengecut.

“Oleh itu, Muhyiddin terpaksa longgarkan beberapa sektor untuk dibenarkan beroperasi. Itu pun sektor yang tidak melibatkan perhubungan.

“Aku tidak tahu kenapa ada yang panik selepas Perdana Menteri mengumumkan PKP akan dilonggarkan bermula 4 Mei ini.

“Maksud kata “dilonggarkan” kalau dilihat secara mendalam, ianya bukan menurus kepada kita yang tidak bekerja dalam sektor seperti dinyatakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kelonggaran diberikan kepada mereka dalam sektor yang dibenarkan sahaja.

Katanya, beliau sendiri tidak nafikan kesan menamatkan PKP sebelum waktunya akan menjadi punca kepada penularan gelombang ketiga, namun, harus ingat, ke di Jepun berlaku selepas berakhirnya Pesta Salji diSapporo.

“Pesta itu dikunjungi kira-kira dua juta pengunjung di Hokkaido. Malah, kes terbaru yang sedang dicatatkan adalah berkemungkinan dari pesta berkenaan, tambahan pula dengan kerajaan Jepun yang terlalu awal menamatkan PKP,” katanya.

Kata Roziyanti Rahman pula, ketika Kementerian Kesihatan bertungkus lumus mencari, mengasingkan, menguji dan merawat semua kes serta mengesan kontak pesakit, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula membuat keputusan menakutkan.

Tegas beliau, ketika MKN sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) untuk kawasan Zon Hijau diberi sedikit kelonggaran, MITI SUdah membuat keputusan melangkah bendul.

Katanya, akibat dari kebenaran terbaharu kerajaan ini, kira-kira 1.5 juta orang di seluruh negara akan berada di luar rumah, sekali gus menggembirakan Covid-19.

“Wilayah Kuala Lumpur dan Selangor satu Zon Hijau pun tiada. Tiga di kawasan Kuala Lumpur iaitu Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa masih Zon Merah (dengan 41 kes dan ke atas).

“Di Selangor, virus Covid-19 masih meriah bergentayangan di Petaling dan Hulu Langat. Sama jua di Seremban, Melaka Tengah, Johor Bahru dan Kluang, semuanya Zon Merah.

“Kawasan ini semua banyak kilang dan padat penduduk. Bayangkan, penularan yang berlaku akibat keputusan MITI. Tidakkah mengundang negara menjadi Itali kedua?” soal beliau. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");