Perak Hari Ini

Ini Cabaran Politik Dalaman BERSATU – Mohd Hafez Mubin

IPOH: Kesemua ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diseru untuk melihat situasi lima ahli parti yang digugurkan baru-baru ini sebagai cabaran politik dalaman.

Pengerusi Tetap ARMADA BERSATU, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh tidak menafikan berlaku kegusaran berhubung perkara tersebut sama ada dalam kalangan ahli parti mahupun sayap ARMADA.

Walau bagaimanapun beliau berkata tidak ada mana-mana individu yang boleh mengatasi keutamaan parti.

“Kita perlu sentiasa sedar dan memahami hakikat bahawa tidak ada individu yang lebih besar dan penting daripada keutamaan parti itu sendiri.

“Ini asas yang mesti dihormati dan difahami dengan jelas. Kita menyayangi pemimpin, namun bila pemimpin tidak menyayangi parti, kita meletakkan parti lebih utama dan menjadi prioriti.

“Saya suka mengingatkan kepimpinan dan seluruh anggota ARMADA untuk melihat situasi ini sebagai satu lagi cabaran politik dalaman.

“Ini waktu dan ketikanya, kita merapatkan saf dan menegakkan disiplin dan hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam dilaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik serta, Datuk Amiruddin Hamzah telah digugurkan keahlian mereka daripada BERSATU

Dalam pada itu, Mohd Hafez yang juga Ketua ARMADA BERSATU Perak turut menzahirkan penghargaan kepada mereka atas jasa dan pengorbanan terhadap BERSATU selama ini.

“Jasa Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee dan Datuk Amiruddin akan tersemat kemas di dalam lipatan sejarah BERSATU,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebarang keputusan yang diputuskan oleh parti hendaklah diterima secara terbuka oleh semua pihak.

“Apa sahaja yang berlaku, mesti dilihat melalui perspektif yang betul dan tepat. Sebagai anggota parti, tindakan dan keputusan kita akan terkait soal disiplin dan peraturan yang jelas,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");