Perak Hari Ini

Perak Umum Dana Tambahan RM15.6 juta, Bantu Sektor Pertanian

IPOH: Perak memperuntukkan dana tambahan RM15.6 juta untuk sektor pertanian di negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ujar beliau ia bagi pelaksanaan projek-projek pertanian, penternakan serta perikanan berimpak tinggi di seluruh Perak.

Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, RM0.86 juta diperuntukkan bagi Bantuan Khas Input Pertanian seperti baja dan racun kepada pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan yang akan memberi manfaat kepada 285 petani.

Dalam pada itu kata beliau, kerajaan negeri turut akan memperkasakan perlaksanaan Projek Pertanian Bandar dan Pertanian Bertingkat.

“Antara projek-projek contoh di bawah inisiatif ini adalah projek tanaman sayur-sayuran dan herba secara hidroponik di Taman Herba, Simpang Pulai seluas 56.31 ekar yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

“Selain itu, RM1.7 juta diperuntukkan bagi Projek Perikanan Bandar. Ini melibatkan pembangunan bekas lombong untuk aktiviti ternakan ikan air tawar secara berkelompok.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 107 orang peserta dari kumpulan B40.

“Kita menyasarkan setiap peserta mampu menjana pendapatan di antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM0.79 juta bagi kempen Bumi Hijau yang mana ia menyasarkan 10,500 isi rumah yang terpilih.

Selain itu, Perak turut akan menyalurkan peruntukkan RM0,6 juta bagi Bantuan Penternak Akuakultur dan Nelayan.

“Antaranya adalah Bantuan peralatan menangkap ikan kepada 285 nelayan darat, bantuan khas makanan ikan kepada 85 penternak akuakultur dan pembelian benih udang galah daripada pengusaha yang terjejas,” katanya.

Tambah beliau lagi, Perak turut akan memacu pembangunan Projek Ternakan Kerang seluas 815 ekar di Lekir yang dikenali dengan nama Kebun Kerang Lekir.

Katanya projek yang dijangka akan melonjakkan ekonomi penduduk setempat itu akan melibatkan 165 ketua isi rumah bagi fasa pertama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");